Rabu, 23 Ogos 2017 | 5:23pm
KETUA Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Ekonomi negara boleh berkembang lebih 5 peratus

PUTRAJAYA: Pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini diunjur berkembang melebihi lima peratus berdasarkan beberapa faktor yang mampu mengukuhkan pendapatan negara, terutama perbelanjaan sektor swasta dan peningkatan eksport.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata keyakinan itu antara lain

merujuk pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua tahun ini, yang mencatat 5.8 peratus, sekali gus menjadi pertumbuhan suku tahun tertinggi sejak suku pertama 2015.

Katanya, peratusan berkenaan menunjukkan tanda positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara yang mana peranan sektor swasta dan pasaran eksport membantu memacu ekonomi ke tahap lebih tinggi.

"Kerajaan turut optimis dengan penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan agihan Bantuan

Rakyat 1Malaysia (BR1M) sepanjang tahun ini, yang mampu melonjakkan jumlah KDNK menjelang hujung tahun ini.

"KDNK yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menunjukkan ekonomi negara terus berada pada kedudukan terbaik iaitu melebihi jangkaan 4.8 peratus, malah mungkin melebihi lima peratus," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kesukarelawan Profesional Antarabangsa (VIP) di sini, hari ini.

Irwan mengulas pengumuman KDNK suku kedua tahun ini oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini yang meletakkan negara dalam momentum terbaik untuk mencatat pertumbuhan melebihi unjuran sebelum ini iaitu sekitar 4.3 hingga 4.8 peratus.

Mengenai Program VIP, Irwan berkata, ia membabitkan golongan profesional pelbagai negara.

"Peserta adalah kalangan golongan bekerjaya seperti doktor, jurutera dan pensyarah yang menganjurkan kegiatan bermanfaat berpanjangan dari segi sosial dan ekonomi di kawasan pedalaman seperti kemudahan air dan tenaga elektrik kepada penduduk luar bandar.

"VIP sudah memberi kesan kepada lebih 12,000 golongan kurang bernasib menerusi kegiatan turun padang oleh sukarelawan terbabit," katanya.

Penganjuran Program VIP kali ketiga sejak 2015 itu menunjukkan sedikit kelainan apabila ia diperluaskan ke tiga lagi negara ASEAN iaitu Indonesia, Kemboja dan Filipina.

548 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »