Rabu, 23 Ogos 2017 | 8:37pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bergambar bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq sebelum mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Beri penekanan kepada projek impak tinggi

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak mahu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) terus memberi penekanan kepada projek pembangunan nod pertumbuhan atau berimpak tinggi di koridor berkenaan yang sudah dikenal pasti.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq, berkata perkara itu ditekankan dalam mesyuarat NCIA ke-18 yang dipengerusikan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

"Kita ada tujuh nod pertumbuhan atau projek impak tinggi iaitu Kedah Rubber City dan Kedah Science and Technology Park di Kedah; Greater Kamunting Conurbation dan Manjung-Aman Jaya Maritime City di Perak; Chuping Valley Industrial Area dan Perlis Inland Port di Perlis serta Batu Kawan Development di Pulau Pinang.

"Perdana Menteri mahu nod pertumbuhan ini dimanfaatkan untuk terus mewujudkan peluang kerja, perniagaan dan impak sosial menerusi inisiatif inovasi sosial bagi membantu golongan B40 meningkatkan pendapatan.

"Malah kita juga akan melihat keperluan untuk meneroka peluang ekonomi di wilayah Perak selatan ," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan.

Selain itu, Redza berkata, NCIA juga akan terus berusaha memperkembangkan inisiatif inovasi sosial yang ditekankan dalam Pelan Tindakan 2.0 Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dilancarkan minggu lalu.

"Kita akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi Kerajaan Persekutuan, serta pihak akademia bagi memastikan program kita berjaya dan limpahan program yang dijalankan dapat dirasai rakyat di koridor ini.

"Ada banyak projek inovasi sosial yang sedang dalam perancangan NCIA dan akan dilaksanakan bagi tahun ini dan tahun depan," katanya.

Sementara itu beliau berkata, sejak penubuhan NCIA pada 2008 hingga Jun lalu, ia berjaya meraih pelaburan terkumpul RM84.5 bilion dengan mewujudkan 108,630 peluang pekerjaan.

Berita Harian X