Khamis, 24 Ogos 2017 | 1:20pm
Ab Aziz (empat dari kanan) bersama Abdul Azeez (tiga dari kanan) melihat bakal jemaah haji, Ahmad Tamil (duduk) membuat imbasan cap jari dalam projek rintis pelaksanaan proses imbasan awal di KLIA. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Ab Aziz (empat dari kanan) bersama Abdul Azeez (tiga dari kanan) melihat bakal jemaah haji, Ahmad Tamil (duduk) membuat imbasan cap jari dalam projek rintis pelaksanaan proses imbasan awal di KLIA. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Jemaah haji diperiksa awal, lancar perjalanan

SEPANG: Perjalanan jemaah haji Malaysia ke Makkah kini lancar apabila kerajaan Arab Saudi memilih Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi pelaksanaan projek rintis imbasan awal, yang pertama seumpamanya di dunia.

Menerusi proses itu, semua jemaah haji Malaysia mulai hari ini akan menjalani imbasan awal yang membolehkan mereka tidak lagi perlu melalui proses Imigresen Arab Saudi apabila mendarat di Jeddah.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata proses imbasan awal itu mula dilaksanakan hari ini hingga penerbangan terakhir pada Isnin depan.

"Semua proses imigresen akan dilaksanakan sepenuhnya di KLIA, dengan kehadiran pegawai imigresen Arab Saudi sebelum mereka berangkat dan sebaik tiba di lapangan terbang Jeddah, jemaah boleh terus ke bahagian pengurusan bagasi.

"Ini akan melancarkan lagi perjalanan jemaah kerana mereka tidak perlu lagi menunggu sehingga lima atau enam jam untuk proses imigresen di Jeddah seperti sebelum ini," katanya selepas meninjau pelaksanaan sistem itu di KLIA hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Berhad, Datuk Badlisham Ghazali.

Ab Aziz berkata, sistem ini kemungkinan dilaksanakan sepenuhnya tahun depan, bergantung kepada kelulusan daripada kerajaan Arab Saudi.

Berita Harian X