Khamis, 24 Ogos 2017 | 6:25pm
KETUA Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak (tiga dari kiri) mencuba buahan tempatan selepas melancarkan Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan, Sayur-sayuran dan Ulam-Ulaman Tempatan di SMK Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

Buah kurang, harga melambung

NIBONG TEBAL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memaklumkan kenaikan harga durian di pasaran tempatan musim ini berpunca daripada kemerosotan pengeluaran selain permintaan tinggi.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak, berkata pengeluaran durian tahun didakwa merosot sehingga 40 peratus berbanding jumlah kebiasaan pengeluaran, iaitu sebanyak 300,000 tan setahun.

Beliau berkata, permintaan tinggi terhadap buah berkenaan termasuk dari negara luar seperti Singapura, Hong Kong dan China juga antara punca bekalan tempatan berkurangan.

"Faktor cuaca menyebabkan musim durian tidak berapa menjadi tahun ini, dan ini sekali gus menyebabkan bekalan di pasaran tempatan berkurangan antara 30 hingga 40 peratus daripada pengeluaran biasa.

"Selain itu, pertumbuhan pesat industri memproses produk berasaskan durian juga semakin meningkat termasuk penghasilan paste durian.

"Keadaan ini sekali gus menjadikan perusahaan berkenaan bukan lagi perniagaan bermusim," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan Peringkat Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian, mengulas mengenai keluhan pengguna yang tersebar di laman sosial mendakwa harga durian tahun ini naik mendadak, termasuk durian kampung didakwa dijual antara RM15 ke RM25 sekilogram, manakala durian komersial dijual pada harga RM40 hingga RM120 sekilogram.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya menyifatkan keadaan itu sebagai persekitaran yang baik khususnya kepada golongan petani kerana mereka memperoleh hasil jualan yang lebih tinggi.

"Pengguna juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan durian mengikut jenis yang dirasakan berpatutan kerana secara umumnya kita mempunyai tiga jenis durian di pasaran iaitu kampung, komersial dan import," katanya.

Berita Harian X