Selasa, 29 Ogos 2017 | 12:04am
DATUK Zohari Sulaiman.- Foto Salhani Ibrahim

Terus dapat diskaun dengan mod kad

KUALA LUMPUR: Diskaun 50 peratus tambang rel bandar mencakupi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel Rapid KL dan Bas Rapid Transit (BRT) yang bermula 17 Ogos lalu akan berakhir Khamis ini dan tambang pada kadar biasa akan bermula keesokan harinya.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif (CEO) Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman berkata, pengguna masih menikmati diskaun sehingga 20 peratus menggunakan mod bayaran bukan tunai seperti kad MyRapid Touch 'n Go dan kad Touch 'n Go lain.

Katanya, pengguna kerap menggunakan perkhidmatan berkenaan juga boleh membeli pakej tanpa tunai khas seperti `Smart 7' atau `Smart 30' yang menawarkan diskaun tambahan, mengikut kesesuaian dan corak perjalanan masing-masing.

Beliau berkata, golongan pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) pula boleh menikmati diskaun 50 peratus dalam tambang perjalanan menggunakan Kad Konsesi.

"Kami harap sambutan baik dan sokongan padu pengguna perkhidmatan rel bandar Rapid KL akan berterusan dan kami bertekad akan senantiasa berusaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Diskaun 50 peratus tambang rel bandar diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena majlis pelancaran Fasa Kedua MRT Laluan Sungai Buloh - Kajang serta 30 juta pengguna mendapat manfaat diskaun tambang berkenaan.

Dalam pada itu, Zohari berkata, LRT laluan Kelana Jaya memperkenalkan 13 tren empat gerabak generasi terkini untuk meningkatkan keselesaan pengguna, di samping mengurangkan masa menunggu tren terutamanya pada waktu puncak.

Katanya, tempoh perkhidmatan bas perantara juga dilanjutkan di semua stesen monorel dari jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari bekerja untuk menyokong perkhidmatan laluan monorel.

"Kami juga sedang mengemaskini program kesetiaan pelanggan dan akan memperkenalkan program terbaru pada masa akan datang untuk menggalakkan lebih ramai warga kota menggunakan pengangkutan awam.

"Pembukaan penuh MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer (KM) dan merentasi 31 stesen dapat menambahbaik dan mengukuhkan kesalinghubungan jajaran rel bandar," katanya.

Berita Harian X