Selasa, 29 Ogos 2017 | 11:41am
JOHN Measham (baju hitam kanan) bersama veteran tentera British termasuk ahli keluarga tiba di KLIA hari ini bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-60. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
SEBAHAGIAN daripada 39 veteran tentera British tiba di KLIA hari ini. Mereka berada di Malaysia bagi menyertai perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini yang diadakan di Dataran Merdeka. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Veteran British sertai perarakan Hari Kebangsaan

SEPANG: Seramai 39 veteran tentera British yang berjuang ketika zaman komunis dan Konfrontasi Indonesia-Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi, bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Pegawai Perhubungan Antarabangsa Persatuan Veteran Malaya dan Borneo (NMBVA) United Kingdom (UK), John Measham, berkata semua veteran yang berumur lingkungan 70-an itu akan terbabit dalam perarakan di Dataran Merdeka, Khamis ini.

"Kami sangat gembira dijemput untuk terbabit dalam sambutan Hari Kebangsaan Malaysia kali ini, malah ahli keluarga turut hadir menyaksikan sambutan hari bersejarah ini.

"Pelbagai kegiatan dirancang sepanjang dua minggu kami berada di sini termasuk melawat Tanah Perkuburan Perang di Cheras, Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Measham yang pernah berkhidmat selama dua tahun di negara ini berkata, banyak kenangan pahit dan manis bermain di fikirannya sebaik tiba ke Malaysia.

"Malaysia adalah rumah kedua saya kerana ia mempunyai keistimewaan berbeza termasuk masyarakat yang mesra selain pelbagai jenis makanan.

"Sudah menjadi rutin bagi saya dan keluarga melawat Malaysia, malah hampir setiap tahun kami ke sini untuk bercuti," katanya.

Seorang lagi bekas tentera, Michael Dennis Smith, 70, dan isteri teruja apabila dapat kembali ke Malaysia bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan negara ini.

"Berada di Malaysia membuatkan saya mengimbau memori berkhidmat sebagai tentera di
Labuan pada 1966.

"Walaupun banyak perubahan berlaku, suasana, rakyat dan budaya di sini masih sama seperti dulu, sekali gus membuatkan saya lebih selesa di sini kerana keadaan cuacanya," katanya.

Berita Harian X