Selasa, 29 Ogos 2017 | 2:23pm
PENGURUS Besar Kanan Sumber Manusia Tabung Haji, Mohd Hisham Harun (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian Tabung Haji kepada suami Allahyarhamah Zainiah Othman, Mohd Sa'don Kaslan (tiga dari kanan) dan anak, Siti Norshaizma (dua dari kanan), Siti Norzaihani (kanan) di Kuaters Kakitangan Kerajaan Jalan Duta. - Foto Adi Safri
PENGURUS Besar Kanan Sumber Manusia Tabung Haji, Mohd Hisham Harun (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian Tabung Haji kepada suami Allahyarhamah Zainiah Othman, Mohd Sa'don Kaslan (tiga dari kanan) dan anak, Siti Norshaizma (dua dari kanan), Siti Norzaihani (kanan) di Kuaters Kakitangan Kerajaan Jalan Duta. - Foto Adi Safri

Jemaah kita meninggal di Makkah

KUALA LUMPUR: Seorang jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung, Selasa lalu.

Zainiah Othman, 59, dilaporkan meninggal dunia jam 11.23 pagi waktu Arab Saudi, ketika menunggu giliran berjumpa doktor di klinik Maktab Tabung Haji (TH) ekoran batuk teruk sepanjang dua minggu berada di sana.

Dia yang ditemani adiknya, Mohd Ariffin Othman, 53, berlepas ke Makkah pada 9 Ogos lalu dengan menaiki penerbangan XY25B dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Suami Allahyarhamah, Mohd Sa'don Kaslan, 59, yang bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan Istana Negara berkata, tahap kesihatan isterinya baik sebelum berlepas ke Tanah Suci kecuali mengadu ubat tekanan darah tidak sesuai dengan dirinya.

Katanya, kesan ubat itu menyebabkan isterinya pening dan batuk tetapi masalah berkenaan pulih seminggu sebelum berlepas.

"Arwah memaklumkan kembali batuk ketika tiba di sana namun masih beribadat seperti biasa termasuk tawaf kira-kira lima jam sebelum meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Kuarters Kerajaan Jalan Duta di sini, hari ini.

Anak sulungnya, Siti Nor Shaizma, 33, berkata anaknya yang berusia dua tahun tiba-tiba menangis sambil menunjukkan baju neneknya beberapa jam sebelum berita kematian diterima.

"Ketika hayatnya, ibu suka bersedekah, membantu orang, jarang meninggalkan sunat tahajud, sentiasa senyum dan sabar walau sedang diuji," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Sumber Manusia TH, Mohd Hisham Harun berkata, jenazah Allahyarhamah diuruskan oleh petugas TH dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syarai'e Makkah.

Beliau yang diiringi Pengarah TH Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Abas, turut menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian berjumlah RM1,500, air zam zam dan kurma kepada waris Allahyarhamah.

"Lebih 100 jemaah haji dimasukkan ke wad klinik dan hospital termasuk lapan sedang mendapatkan rawatan rapi di Hospital Arab Saudi atas pelbagai masalah kesihatan," katanya.

Berita Harian X