Selasa, 29 Ogos 2017 | 4:13pm
SHABANA Naseer Ahmad pada sidang media berkaitan Laporan Tahunan Aduan Pengguna 2016 di ERA Consumer. - Foto Shawal Azani

NCCC banyak terima aduan transaksi e-dagang

PETALING JAYA: Pusat Khidmat Aduan Pengguna (NCCC) menerima 48,563 aduan daripada pengguna seluruh negara sepanjang tahun lalu yang membabitkan kerugian lebih RM255 juta.

Pengurus Kanan Perundangan dan Undang-Undang NCCC, Shabana Naseer Ahmad, berkata aduan membabitkan transaksi e-dagang adalah yang tertinggi dengan 7,371 kes dilaporkan.

Bagaimanapun, katanya, nilai kerugian tertinggi pula membabitkan sektor automobil dan bengkel kenderaan, iaitu hampir RM80 juta.

"Kami percaya sektor berkenaan menyebabkan kerugian terbesar kerana kualiti kenderaan diabaikan pengeluar atau peniaga supaya harganya lebih murah. Ia membabitkan kereta baharu dan terpakai.

"Pengguna akan menanggung kerugian apabila kenderaan yang dibeli mudah rosak. Lebih mengecewakan, kebanyakan aduan yang diterima NCC adalah terhadap pengeluar tempatan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau juga mendakwa, pusat perkhidmatan kenderaan di Malaysia tidak sensitif terhadap aduan pelanggan, kebanyakannya akan mengabai atau membiarkan sahaja aduan yang diterima.

"Walaupun ada undang-undang, masalah seolah-olah tiada penyelesaian sehingga bukan sahaja hilang kepercayaan kepada pengeluar, tetapi juga pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, masalah timbul apabila tiada badan kawal selia memantau dan mengambil tindakan terhadap industri automobil.

"Sepatutnya pengeluar memeriksa terlebih dulu kebolehgunaan dan kemampanan aksesori kereta serta alat ganti bagi kereta baharu dan terpakai. Selain itu, kukuhkan lagi khidmat pelanggan dan selepas jualan.

"Ia kerana kebanyakan aduan yang diterima mendakwa banyak pengeluar dan peniaga kereta mengambil mudah aspek itu selepas selesai urusan pembelian," katanya.

Berita Harian X