Selasa, 29 Ogos 2017 | 5:28pm
STESEN LRT Bukit Jalil dan stesen Masjid Jamek akan dibuka hingga jam 2 pagi manakala stesen LRT Bandaraya dan KLCC akan dibuka hingga jam 1 pagi.

Penutup KL2017: Rapid KL sedia bas, tren khas

 

KUALA LUMPUR: Rapid KL akan menyediakan perkhidmatan khas tren dan bas sempena acara penutup temasya Sukan SEA yang akan berlangsung serentak dengan sambutan Ambang Merdeka malam esok.

Prasarana Malaysia (Prasarana) dalam satu kenyataan hari ini, berkata perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) akan dilanjutkan hingga jam 2 pagi.

Selain itu, katanya, Rapid KL akan menyediakan perkhidmatan khas di beberapa lokasi untuk membawa penumpang ke Stadium Nasional, Bukit Jalil serta perjalanan pulang selepas upacara penutup tamat.

"Stesen LRT Bukit Jalil dan stesen Masjid Jamek akan dibuka hingga jam 2 pagi manakala stesen LRT Bandaraya dan KLCC akan dibuka hingga jam 1 pagi.

"Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara, Bukit Bintang, Bandar Utama dan stesen monorel Hang Tuah juga akan dibuka hingga jam 1 pagi.

"Penumpang yang menggunakan perkhidmatan ini boleh keluar di mana-mana stesen LRT, MRT, monorel dan Bas Rapid Transit (BRT) walaupun stesen berkenaan sudah ditutup," katanya.

Prasarana turut menyarankan orang ramai menggunakan kad MyRapid Touch 'n Go (TnG) bagi memudahkan urusan perjalanan menggunakan perkhidmatan awam itu.

"Sekiranya menggunakan token, dinasihatkan supaya terus membeli token untuk perjalanan pulang.

"Ini bagi mengelakkan perlu beratur panjang untuk membeli token ketika perjalanan pulang," katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin ke Bukit Jalil menggunakan bas boleh mendapatkan perkhidmatan itu di Jalan Reko, Terminal Kajang (RM3 sehala); Ampang Point (RM3 sehala); Hab Bas Greenwood, Gombak (RM5 sehala), Hab Bandar Shah Alam (RM5 sehala), Perhentian Bas KLCC (RM3 sehala) dan Platform C Pasar Seni (RM3 sehala).

Berita Harian X