Selasa, 29 Ogos 2017 | 5:53pm
SEKUMPULAN gajah liar yang dianggarkan 10 ekor muncul dan boleh dilihat di Ladang Sawit Sungai Batu, Jalan Jerantut - Jengka berdekatan Taman Warisan Gua, Kota Gelanggi.- Foto Amir Hamzah Nordin

10 gajah liar kejutkan orang ramai di Kota Gelanggi

JERANTUT: Sekumpulan gajah liar mengejutkan orang ramai apabila berkeliaran di ladang sawit Sungai Batu berhampiran Taman Warisan Gua Kota Gelanggi di sini, pagi ini.

Kemunculan kira-kira 10 gajah liar itu boleh dilihat dari tepi jalan kira-kira jam 9 pagi sebelum haiwan liar terbabit menyusuri denai ladang sawit dipercayai menghala ke kawasan ladang FELDA Kota Gelanggi Satu dan Tiga.

Kumpulan gajah itu tidak memberikan sebarang reaksi terhadap bunyi kenderaan dan suara orang ramai yang berhenti di jambatan Sungai Batu untuk melihat kemunculan haiwan liar terbabit dalam jumlah banyak dan jarang berlaku.

Penduduk dari Pulau Tawar, Khairul Azuan Abu Samah, 40, berkata dia memberhentikan keretanya selepas melihat banyak pemandu lain meletakkan kenderaan di tepi jalan sebelum bergegas ke atas jambatan sambil melihat kawasan ladang sawit.


ANGGARAN 10 ekor muncul dan boleh dilihat di Ladang Sawit Sungai Batu, Jalan Jerantut - Jengka berdekatan Taman Warisan Gua, Kota Gelanggi.

"Saya dapat melihat kira-kira 10 ekor gajah berjalan di denai berlumpur ladang berkenaan sambil mematahkan pelepah sawit, ia tidak menghiraukan kehadiran orang ramai yang melihat gelagatnya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penduduk, Mohd Kamal Bidin, 53, melahirkan rasa terkejut kerana kali pertama dia melihat kehadiran gajah liar yang banyak dan tidak takut dengan kehadiran manusia.

"Sejak tiga tahun lalu, gajah memang biasa dilihat sekitar ladang sawit di kawasan ini, tetapi hari ini kali pertama kali ia bergerak dalam kumpulan yang banyak.

"Ia biasa berulang alik mengikut denai dari hutan berdekatan FELDA Kota Gelanggi ke pinggir Kampung Bukit Rang dan Kampung Bukit Nikmat untuk mencari makanan," katanya.

Mohd Kamal mendakwa, gajah liar semakin kerap menceroboh kampung, kebun pertanian dan ladang sawit untuk mencari makanan sejak habitatnya sekitar Hutan Simpanan Lepar serta Hulu Tembeling musnah akibat pembalakan.

Berita Harian X