Rabu, 30 Ogos 2017 | 2:26pm
TAN Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

JKDM, LHDN jalankan audit bersama

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjalankan program audit bersama bermula hari ini bagi mengesan individu atau syarikat yang tidak membayar cukai hingga menyebabkan ketirisan hasil negara.

Ketua Setiausaha Perbendahaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah, berkata kerjasama secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu dapat menjimatkan kos dan masa dalam melaksanakan pengauditan.

"Jawatankuasa Induk Audit Bersama dan Jawatankuasa Pelaksana Audit Bersama ditubuhkan bagi bekerjasama dalam pemilihan kes, skop audit, penyediaan prosedur tatacara audit bersama dan penyelarasan tindakan audit.

"Menerusi audit bersama ini, maklumat akan dikongsi berkaitan syarikat yang tidak membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai korporat, atau membuat pengisytiharan kurang daripada apa yang diperoleh.

"Kita boleh sasarkan syarikat yang berkenaan dan lawatan bagi audit dijalankan dibuat secara bersama yang mana syarikat atau individu akan dimaklumkan terlebih dulu bagi temu janji lawatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani prosedur operasi standard (SOP) Program Auidt Bersama antara JKDM dan LHDN di sini hari ini.

JKDM diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk T Subromaniam, manakala LHDN diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah.

Irwan berkata, pihak audit bersama itu juga akan memberi nasihat kepada individu atau syarikat supaya mematuhi urusan pembayaran percukaian

"Kita akui banyak lagi syarikat belum mematuhi urusan pembayaran cukai, justeru menerusi inisiatif ini kita harap hasil akan bertambah dengan pelaksanaan audit bersama ini.

"Bagaimanapun, jangan kata tindakan ini seolah-olah kerajaan mahu mendapatkan lebih banyak pendapatan, sebenarnya ramai yang patuh bayar cukai, tetapi tidak adil bila ada beberapa syarikat, peniaga atau individu yang cuba menipu dan tidak bayar cukai," katanya.

Katanya, buat permulaan audit bersama itu disasarkan di sekitar Lembah Klang sebelum diperluas ke seluruh negara dalam masa terdekat.

Berita Harian X