Rabu, 30 Ogos 2017 | 6:47pm
NAIB Presiden Kanan Persatuan Veteran Malaya New Zealand (NZMVA), William Russel. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Veteran tentera New Zealand mahu rakyat Malaysia hargai kemerdekaan

SEPANG: "Bersyukur dengan apa yang anda kecapi kerana tidak semua rakyat dan negara lain memilikinya."

itu pesanan veteran tentera New Zealand, William Russel, 78, yang pernah bertugas menjaga keselamatan negara pada awal 1960-an.

Russel yang juga Naib Presiden Kanan Persatuan Veteran Malaya New Zealand (NZMVA), antara 28 veteran tentera negara itu yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mereka akan menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, esok.

Russel berkata, Malaysia banyak berubah selepas berjaya mencapai kemerdekaan pada 1957 dengan pembangunan dan ekonomi yang semakin pesat.

"Saya sangat gembira dapat kembali semula ke negara ini selepas kali terakhir mengunjungi Malaysia pada 1977.

"Malaysia mempunyai kecantikan asli dan rakyat negara ini perlu menghargainya hasil daripada kemerdekaan yang dicapai," katanya ketika ditemui.

Beliau berpangkat koperal kanan ketika bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand dari 1961 hingga 1964, berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.

Seramai 800 anggota tentera darat, laut dan udara New Zealand berkhidmat di negara ini termasuk di Taiping, Melaka dan Borneo dari 1955 hingga 1968.

Sementara itu, Peter Pangari, 77, yang berada dalam pasukan sama dari 1961 hingga 1964, berkata kemerdekaan dikecapi Malaysia tidak boleh dipandang mudah dan ia mesti dikekalkan serta dinikmati.

Ditanya perkara paling diingat ketika menetap di Melaka, Pangari berkata, beliau tidak boleh lupa keenakan aiskrim yang dijual seorang penduduk ketika itu yang digelar mereka sebagai "Icy Icy".

Semalam, kumpulan veteran berkenaan yang dijemput khas oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibawa melawat Pusara Pahlawan di Kuching, Sarawak.

Pusara itu turut menempatkan plak bagi menghargai sumbangan tentera New Zealand menjaga keselamatan Malaysia, khususnya di Sarawak ketika zaman konfrontasi dari 1964 hingga 1966.

Berita Harian X