Khamis, 31 Ogos 2017 | 6:05pm
SERAMAI 80 orang penduduk membaca ayat suci Al-Quran dari surah Yassin ketika menyertai Program World #QuranHour yang dijalankan di Masjid Nurul Amin, Kampung Delek hari ini. - Foto Faiz Anuar
ANTARA peserta yang membaca ayat suci Al-Quran dari surah Yassin ketika menyertai Program World #QuranHour yang dijalankan di Masjid Nurul Amin, Kampung Delek hari ini. - Foto Faiz Anuar

Merdeka #QuranHour: Cabaran dekati golongan muda

KLANG: Usaha memimpin golongan belia untuk mendekati al-Quran menjadi cabaran besar berbanding golongan dewasa dan warga emas.

Ini berikutan golongan muda mempunyai banyak perkara yang dikejar termasuk keseronokan dunia manakala kelompok dewasa dan warga emas lebih berfokus kepada kehidupan abadi.

Penggerak Rumah Ngaji Masjid Nurul Amin, Hamidah Wiji bagaimana, berkata cabaran itu tidak mematahkan semangatnya kerana pelbagai pendekatan diambil dalam usaha membuka ruang kepada golongan muda menghayati al-Quran.

Beliau berkata, keutamaan pengajar bukan kuantiti ayat Al-Quran yang dibaca sebaliknya kualiti setiap pelajar selepas membacanya.

"Cabaran memang banyak terutama apabila kita sedang berusaha mencari kebaikan. Tapi kaedah yang kita guna santai dan tidak terlalu memaksa mereka, bermakna membaca ayat al-Quran baris demi baris. Tidak perlu baca banyak sekali gus.

"Kemudian kita beri teguran membina yang menaikkan semangat mereka untuk terus mengaji terutamanya cara kita tegur mereka jika ada kesilapan dari segi sebutan dan sebagainya.

"Bagi kebanyakan golongan dewasa pula, mereka datang atas kesedaran sendiri, bila nampak ada ruang mereka ambil peluang untuk belajar mengaji," katanya selepas tamat program Merdeka #QuranHour yang disertai seramai 80 peserta di sini.

Hamidah berkata, beliau juga mencadangkan agar Masjid Nurul Amin dijadikan 'hotspot' untuk #QuranHour penduduk sekitar Kampung Delek, Sungai Udang dan Seri Perantau.

Katanya, beliau akan menyediakan tenaga pengajar yang boleh membantu jemaah yang menyertai program itu pada masa akan datang.

Pada masa sama, katanya, hari ini mereka berinteraksi dengan surah Yasin yang menjadi surah tema Merdeka #QuranHour di seluruh negara.

"Bacaan surah Yasin yang bermula jam 10 pagi itu dipimpin Imam Satu Masjid Darul Muttaqin, Sungai Udang, iaitu Abdul Somad Mohamed.

"Kemudian diikuti dengan bacaan doa oleh Imam Satu Masjid Nurul Amin, Mohd Fadhil Masrum," katanya.

Berita Harian X