Khamis, 31 Ogos 2017 | 10:35pm
YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berkenan melancarkan Pameran Jalan Merdeka di Carcosa dan Seri Negara, Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Pameran Jalan Merdeka papar sejarah unik

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berkenan melancarkan Pameran Jalan Merdeka di Carcosa dan Seri Negara, di sini, malam ini.

Baginda menandatangani sebuah plak dokumen sebagai simbolik di dalam bilik di mana Perjanjian Merdeka ditandatangani beberapa minggu sebelum negara mencapai kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos 1957.

Yang turut hadir, Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Turut serta Pengerusi AHC Sdn Bhd, yang juga Pengerusi Asian Heritage Museum, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz.

YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (dua kanan) diiringi Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz (kiri) melawat Pameran Jalan Merdeka di Carcosa dan Seri Negara, Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Tunku Zain Al-'Abidin berkata, pameran anjuran Asian Heritage Museum itu dikelolakan sekumpulan ahli sejarah, aktivis, pembikin filem, arkitek dan pemuzik, yang memaparkan keunikan cerita Merdeka menerusi dua elemen. 

"Elemen pertama, pameran ini menceritakan kisah menerusi perspektif yang jarang diceritakan iaitu bukan hanya berkisar mengenai politik tetapi rakyat biasa sebelum merdeka.

"Selain itu, laman sesawang memaparkan banyak keputusan penting dilakukan melalui perbincangan dan peristiwa mengenai cerita Merdeka berlaku di sini," katanya. 

Projek sulung Asian Heritage Museum di tapak warisan negara itu akan berlangsung setiap hari selama sebulan bermula esok, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.  

Berita Harian X