Khamis, 31 Ogos 2017 | 11:37pm

Berkapcai dari Klang ke London rai merdeka

KUALA LUMPUR: Hajat sepasang suami isteri untuk menyambut Hari Kebangsaan di London, tercapai apabila mereka menamatkan misi menunggang kapcai di depan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di kota raya itu, hari ini.

"Alhamdulillah. Sudah sampai di pejabat kedutaan (pesuruhjaya tinggi) setelah menempuh perjalanan selama 146 hari," kata bekas pekerja bank, Mohd Alfishahrin Zakaria, 31, yang ditemani isterinya, Diana Latief, 30, melalui laman Facebook secara langsung petang ini.

Melalui video berdurasi kira-kira dua minit itu, mereka dilihat disambut beberapa pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, yang memberikan ucapan tahniah.


MOHD Alfishahrin Zakaria dan isteri, Diana Latief ketika tiba di Kota London. - Foto ihsan Facebook Mohd Alfishahrin

Pasangan suami isteri itu sebelum ini dilaporkan berhasrat mengibarkan Jalur Gemilang di London sebagai mengingati kemerdekaan Malaysia diperoleh hasil pemeteraian perjanjian di kota raya berkenaan.

Pasangan itu menjelajah 23 negara dengan sebuah motosikal berenjin 150cc melalui program inspirasi Anak Muda Bebas Dadah Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Selangor, sejak 8 April lalu.


ALFISHAHRIN dan Diana ketika berada di Paris. - Foto ihsan Facebook Mohd Alfishahrin

Mereka yang mendapat sokongan daripada beberapa syarikat permotoran antarabangsa seperti GIVI Malaysia, STT SPROCKET dan MYBIKERZ, membelanjakan hampir RM40,000 untuk mencapai misi itu.

Pada 2015, Mohd Alfishahrin menunggang secara solo ke 1000 Corner di Chiang Mai, Thailand dan ini diikuti dengan misi solo ke tujuh sempadan negara iaitu Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam, Kemboja dan Singapura pada 2016. - BERNAMA

ALFISHAHRIN dan Diana. - Foto ihsan Facebook Mohd Alfishahrin
ALFISHAHRIN dan Diana ketika berada di Luxembourg. - Foto ihsan Facebook Mohd Alfishahrin
ALFISHAHRIN dan Diana ketika tiba di Netherland. - Foto ihsan Facebook Mohd Alfishahrin
Berita Harian X