Jumaat, 1 September 2017 | 5:28pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Halim Salleh
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Halim Salleh

Tiada permintaan bayaran sebelum rawatan kecemasan - KKM

JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan hari ini, menafikan berlakunya penangguhan atau permintaan bayaran pendahuluan kepada pesakit warga asing seperti dilaporkan sebuah portal berita Singapura berhubung kejadian di Hospital Sultanah Aminah (HSA), semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya mengambil maklum laporan dalam portal berita The Independent SG yang melaporkan seorang warga Singapura maut susulan kemalangan kenderaan di bandar raya ini.

Katanya, artikel berkenaan turut mendakwa mangsa berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan kritikal dan masa tindak balas ambulans dari HSA adalah perlahan sehingga mengambil masa 30 minit.

"Berdasarkan rekod perkhidmatan ambulans, panggilan kecemasan dibuat pada jam 2.57 pagi pada 25 Ogos lalu dan ambulans meninggalkan HSA pada jam 2.59 pagi, tiba di lokasi kejadian pada jam 3.10 pagi sebelum beredar bersama pesakit itu lima minit kemudian, syabas kepada perkhidmatan panggilan ambulans atas tindak balas pantas itu.

"Berdasarkan keadaan kritikal mangsa, lelaki itu dimasukkan ke Zon Merah ketika tiba di Bahagian Kecemasan dan sejurus selepas itu rawatan kecemasan protokol 'Advanced Trauma Life Support' (ATLS) diteruskan, yang sebelum itu sudah dilakukan lebih awal pasukan perubatan ambulans.

"Pasukan Bahagian Kecemasan juga memulakan pengimejan mengikut keperluan (sinaran X pada anggota utama, imbasan CT pada otak, servikal dan toraks), rawatan (termasuk intubasi) dan rujukan kepada pasukan yang bertanggungjawab dalam jangka waktu dan tatacara profesional, tanpa meminta bayaran deposit kerana ia adalah kes kecemasan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tindakan tidak meminta bayaran deposit itu adalah selaras dasar kementerian seperti pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan bertarikh 4 Mac 2015 mengenai pembayaran deposit untuk rakyat asing dalam hospital kementerian.

"Memandangkan kecederaan pada otak mangsa, pesakit dirujuk pasukan Neurosurgery, dan Craniectomy Decompressive serta penyingkiran pengawasan gumpalan dan tekanan intrakranium dirancang tanpa permintaan bayaran deposit. 

"Apabila anggota keluarga tiba, barulah mereka diminta membuat bayaran deposit seperti protokol untuk pesakit rakyat asing, tetapi yang penting dan perlu ditekankan adalah pengimejan kecemasan dan rawatan dikehendaki tidak ditahan atau tertunda," katanya.

Katanya, anggota keluarga mangsa memilih pelepasan dengan risiko (pelepasan AOR) dan mengaturkan bagi mangsa dirawat sebuah hospital di Singapura selepas memahami risiko membabitkan penangguhan lanjut pembedahan.

"Kementerian Kesihatan meminta semua pihak berkaitan untuk bertanggungjawab dalam melaporkan dan seterusnya mengulas, sehingga mengeluarkan fakta salah dan kenyataan tidak berasas yang boleh menjurus salah faham dan menjejaskan keharmonian," katanya.

Berita Harian X