Jumaat, 1 September 2017 | 8:54pm
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Danial Saad

Dakwaan konspirasi kematian Houssenaly bermotif peribadi - Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Dakwaan kematian Konsul Kehormat Malaysia di Madagascar, Houssenaly Zahid Raza, mempunyai kaitan dengan tragedi pesawat Penerbangan Malaysia, MH370, disifatkan hanya teori konspirasi dan berbaur agenda peribadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata hasil pertukaran maklumat risikan, punca kematian kenamaan itu sehingga kini masih dalam siasatan pihak berkuasa Madagascar.

Sehubungan itu, katanya, sebarang spekulasi liar berhubung kematian Houssenaly, termasuk mengaitkannya dengan proses penyerahan serpihan MH370 selepas pesawat berkenaan dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 lalu adalah tindakan tidak sensitif.

"Beliau (Blaine Gibson) sepatutnya tunggu dan jangan buat spekulasi kerana kita kena hormat waris keluarga mangsa yang meninggal dunia itu (Houssenaly).

"Jangan kaitkan berita sedih ini dengan MH370 tanpa kemukakan sebarang bukti kukuh, sedangkan kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan penemuan setiap serpihan pesawat.

"Saya ucapkan takziah kepada waris Houssenaly, namun hentikan cubaan yang sekadar mewujudkan teori konspirasi ini kerana ia seakan-akan ada udang di sebalik batu," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar Australia, Perth Now menemubual Gibson yang juga penyiasat persendirian, sebagai berkata serpihan baharu ditemui dekat perairan Madagascar itu sepatutnya diserahkan kepada Houssenaly, sebelum dihantar melalui kurier ke Malaysia.

Bagaimanapun, laporan itu mendakwa Houssenaly dibunuh pada 24 Ogos lalu, sebelum beliau sempat menjalankan tugasnya.

Tiong Lai berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) sudah diarah untuk menguruskan proses penerimaan dan penelitian serpihan berkenaan dari pihak berkuasa Madagascar.

"Serpihan itu belum sampai ke tangan konsul kerana masih dalam kendalian pihak berkuasa Madagascar, justeru menerusi SOP, kita boleh sama ada pergi ambil atau minta ia dihantar ke Malaysia.

"Setakat maklumat yang diterima, penemuan serpihan baharu di Madagascar ini adalah kecil, namun saya sudah minta CAAM untuk sediakan laporan terperinci secepat mungkin," katanya.

2296 dibaca
Berita Harian X