Sabtu, 2 September 2017 | 2:45pm

Hanya 34.6 peratus beli insurans

KUALA LUMPUR: Kajian trend perjalanan rakyat Malaysia oleh sebuah syarikat insurans am tempatan, mendapati hanya 34.6 peratus rakyat Malaysia yang membeli insurans perjalanan ketika melancong ke luar negara atau melawat lokasi mencabar.

Ini bermakna hanya antara tiga dan empat daripada 10 rakyat Malaysia, membeli insurans perjalanan bagi melindungi diri serta keluarga mereka daripada sebarang musibah atau insiden luar jangka sama ada sebelum, semasa perjalanan atau ketika berada di luar negara.

Kajian dalam talian itu dilakukan Tune Protect, syarikat insurans terkemuka yang juga rakan kongsi syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia pada 2016.

Tinjauan dalam talian dijalankan ke atas 660 responden dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dari Mei hingga 15 Julai 2016 juga mendapati 9.6 peratus (46 responden) langsung tidak membeli insurans perjalanan kerana menganggap ia tidak penting.

Ia memberi gambaran kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan insurans perjalanan masih rendah ketika banyak kes membabitkan rakyat Malaysia yang terlantar sakit di luar negara, sama ada ketika melancong atau bekerja di luar negara, sehingga terpaksa diterbangkan pulang ke tanah air untuk rawatan lanjut.

Baru-baru ini, seorang pensyarah sebuah universiti tempatan yang koma di Australia dan terpaksa diterbangkan pulang ke Malaysia, bulan lalu.

Difahamkan, pensyarah terbabit dilaporkan tiada insurans perjalanan dan situasi itu menyebabkan keluarganya terpaksa meminta bantuan orang ramai untuk menanggung kos perubatan yang tinggi.

Satu lagi tinjauan online dijalankan syarikat insurans am, Chubb, tahun lalu juga mendapati 19 peratus rakyat Malaysia langsung tidak membeli insurans perjalanan kerana menganggapnya tidak perlu selain percaya mereka dilindungi insurans disediakan kad kredit.

Kajian Chubb membabitkan 758 responden mendapati 43 peratus responden membeli insurans bagi semua perjalanan dengan mengambil kira pelbagai faktor yang mempengaruhi keputusan mereka.

Faktor keselamatan negara dikunjungi mempengaruhi 56 peratus daripada mereka, jarak perjalanan (52 peratus) dan kos insurans (42 peratus).

Senario membimbangkan

Sumber industri menyifatkan senario itu sebagai amat membimbangkan kerana tarif perlindungan insurans oleh syarikat kad kredit adalah terhad dan ia tidak menyeluruh seperti perlindungan insurans perjalanan yang turut meliputi aspek perubatan dan evakuasi kecemasan.

"Lebih menyedihkan jika individu itu langsung tidak mengambil insurans perjalanan. Ini tentunya akan mendatangkan masalah jika berlaku musibah atau insiden tidak diingini, malah ramai yang tidak tahu apa bentuk perlindungan yang mereka ada," katanya. 

Semakan BH mendapati kebanyakan pakej insurans disediakan kad kredit hanya meliputi insiden perjalanan seperti pembatalan penerbangan dan kehilangan bagasi selain pampasan jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal akibat insiden tidak diingini semasa perjalanan.

Bagaimanapun, perlindungan insurans perjalanan adalah lebih menyeluruh antara lain meliputi kos perubatan di luar negara sekiranya sakit, insiden penerbangan seperti kelewatan atau pembatalan penerbangan, elaun melawat ahli keluarga sakit di luar negara, pampasan kematian atau hilang upaya kekal, pemindahan dan evakuasi kecemasan serta rawatan susulan di tanah air, jika diperlukan.

Malah, ada insurans perjalanan yang turut menyediakan pampasan bagi individu yang menjadi mangsa rampasan pesawat oleh pengganas.

Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Anthony Lee, berkata lazimnya, polisi insurans perjalanan meliputi kemalangan atau kehilangan yang diinsuranskan ketika perjalanan sama ada melalui perjalanan udara, laut atau darat.

Secara umumnya, insurans perjalanan merangkumi tujuh manfaat utama, iaitu perlindungan kematian dan hilang upaya kekal, kehilangan bagasi, kehilangan pasport atau wang, perbelanjaan perubatan dan hospital, evakuasi kecemasan untuk kes kritikal, pembatalan penerbangan dan rampasan (hijacking) yang bergantung kepada terma dan syarat berbeza mengikut syarikat insurans.

Kos perubatan tinggi

"Insurans perjalanan komprehensif amat penting memandangkan kos perubatan di luar negara amat tinggi selain bertujuan membantu proses evakuasi atau penghantaran pulang akibat kemalangan," katanya merujuk kepada beberapa insiden membabitkan rakyat Malaysia terlantar sakit di luar negara.

Kos perubatan di luar negara amat tinggi, misalnya dalam kes beberapa rakyat Malaysia yang sebelum ini terlantar sakit di Australia, mereka terpaksa membelanjakan sehingga AUS$5,600 (RM19,000) sehari bagi rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

"Kami difahamkan kebanyakan insurans perjalanan disertakan bagi pakej pengembaraan, bagaimanapun ia tidak wajib. Kami galakkan semua pihak mengambil insurans perjalanan bagi tujuan perlindungan sekiranya ia tidak disertakan dalam pakej pengembaraan/pelancongan. Individu pula boleh ambil insurans perjalanan berdasarkan keperluan," kata Anthony.

Berita Harian X