Sabtu, 2 September 2017 | 10:28pm
ANTARA kucing yang terdapat di M.A.I Meow Cafe. - Foto Harun Yahya

M.A.I Meow Cafe hargai peminat kucing

SIBU: 'Pilih kerja yang diminati dan kita tidak perlu bekerja untuk seumur hidup'. Kata-kata Confusius itu amat bermakna bagi Noraida Mohamad Aziz, 33, apabila beliau memilih menggabungkan dua perkara paling diminatinya dan menukarkannya kepada kerjaya.

Obses kepada kerenah kucing comel dan minat mendalam dalam bidang kulinari, Noraida atau lebih dikenali sebagai Eda kalangan rakannya, membuka sebuah kafe kucing, konsep pertama seumpamanya di bandar ini.

M.A.I Meow Cafe, yang dibuka 8 Ogos 2016, menggabungkan konsep restoran santai dengan pelanggan bebas untuk bermain dengan kucing-kucing yang diletakkan di ruangan khas di kafe tersebut.

"Kafe ini sesuai untuk mereka yang datang untuk bersantai selepas penat bekerja atau menghabiskan masa dengan keluarga di hujung minggu. Menikmati juadah di kafe ini pasti memberi pengalaman unik kepada setiap pelanggan kami," katanya kepada BH.

PENGURUS M.A.I Meow Cafe, Noraida Mohamad Aziz. - Foto Harun Yahya

RUANGAN kafe kucing di M.A.I Meow Cafe dilengkapi dengan penapis udara, 'taman permainan kucing', bekas makanan dan minuman serta penghawa dingin. - Foto Harun Yahya

Menurut graduan bidang seni kulinari sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan itu, beliau mempunyai kucing daripada baka British Shorthair, Scottish Fold, Maine Coon,Muchkin dan sebagainya.

"Saya mempunyai 28 ekor kucing di rumah, jadi apa salahnya jika saya bekerja dan membawa kucing saya bersama ke tempat kerja. Ini salah satu sebab saya membuka kafe ini, bekerja dan boleh membawa kucing bersama," katanya yang juga.

Setiap hari, Eda akan membawa beberapa ekor kucingnya untuk diletakkan di ruangan kafe kucing yang lengkap dengan penapis udara, 'taman permainan kucing', bekas makanan dan minuman serta penghawa dingin.

"Saya tidak memilih kucing mana yang mahu 'mengikut' ke kedai, saya hanya mengambil sangkar kucing, mana-mana kucing yang mahu masuk ke sangkar itu akan dibawa ke kedai.

EDA akan memastikan kucing yang dibawa ke kafe tidak dijangkiti sebarang penyakit baik seperti demam atau Spenyakit kulit. - Foto Harun Yahya

ANTARA kucing yang terdapat di M.A.I Meow Cafe. - Foto Harun Yahya

"Namun saya akan memastikan kucing yang dibawa ke kafe tidak dijangkiti sebarang penyakit baik seperti deman atau penyakit kulit," katanya.

Katanya lagi, pelanggan yang mahu bermain dengan kucing perlu menyahkuman tangan mereka dahulu dengan cecair nyahkuman yang disediakan sebelum mereka dibenarkan masuk ke ruangan kucing.

"Saya memilih untuk mengasingkan ruang makan dengan ruang kucing kerana mungkin ada pelanggan yang hanya mahu menikmati makanan dan melihat gelagat kucing dari luar sahaja. Pengasingan ini juga untuk menjamin kebersihan selain mengelak kucing diberi makanan yang tidak sepatutnya dimakan," katanya.

Mengenai makanan di kafe itu pula, beliau memilih untuk menghidangkan makanan barat seperti 'Nanny Salad, Chichen Chop dan spagetti, namun menu di cafe itu dihadkan bagi menjaga kualiti makanan.

ANTARA makanan yang disediakan di MAI Meow Cafe. - Foto Harun Yahya

"Menu di kafe ini tidak banyak kerana saya mahu kualiti makanan dijaga, jika terlalu banyak pilihan makanan ia akan menyukarkan proses penjagaan kualiti selain terpaksa membabitkan terlalu banyak bahan mentah berlainan yang mungkin tidak kos efektif selain memerlukan ruangan penyimpanan yang besar. Harga minuman bermula dari percuma (air suam) hingga RM8, makanan pula bermula dari RM30," katanya.

Eda kini juga sedang merancang untuk memindahkan kafe kucingnya ke tempat baharu yang lebih luas bagi membolehkan lebih banyak meja diletakkan selain menempatkan kucing-kucing kesayangannya.

"Kini ruangan untuk meja makan agak kurang kerana tempat kucing juga memerlukan ruang yang agak besar. Saya berharap tempat baharu nanti akan dapat menampung lebih banyak pengunjung ke kafe saya." Katanya.

ANTARA makanan yang disediakan di MAI Meow Cafe. - Foto Harun Yahya

Berita Harian X