Isnin, 4 September 2017 | 6:59pm
KERETA roda tiga buatan Britain yang direka khas dan akan dipandu sendiri Tuanku pada Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 yang akan berlangsung bulan hadapan. - Foto Royal Press Office
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar buat julung kalinya berkenan memandu kereta roda tiga buatan Britain yang direka khas dan akan dipandu sendiri Tuanku pada Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 yang akan berlangsung bulan hadapan. - Foto Royal Press Office

Sultan Johor siap sedia sertai KMJ 2017

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah bersedia untuk menemui rakyat dan seterusnya menjayakan program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 edisi ke-20 yang akan berlangsung selama empat hari bermula Sabtu ini.

Buat pertama kalinya dalam sejarah penganjuran KMJ, baginda akan memandu kereta beroda tiga Morgan dari Britain dalam penjelajahan secara konvoi sejauh 808 kilometer kesemua 10 daerah di Johor.

Kereta beroda tiga Morgan itu unik kerana ia direka khas mengikut spesifikasi Sultan Ibrahim.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak datang terlalu hampir, mahupun menyentuh kereta Morgan itu berikutan keadaan enjin dan ekzos yang terdedah.

"Ia amat panas dan boleh mendatangkan kecederaan," titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, Royal Press Office (RPO), di sini, hari ini.

Acara KMJ 2017 dijangka lebih menarik dengan Sultan Ibrahim diiringi keluarga diraja Johor mengambil bahagian dalam pelbagai program bersama rakyat seperti demonstrasi memasak, sukan rakyat, lawatan ke gerai dan penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Baginda turut berkenan menyelam dan menyempurnakan majlis pelancaran logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di dasar laut berhampiran Pulau Mensirip, Mersing.

2138 dibaca
Berita Harian X