Isnin, 4 September 2017 | 8:18pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melawat gelanggang futsal sumbangan Yayasan Cruyff selepas merasmikannya ketika majlis bersama Perdana Menteri sempena Hari Hasanah 2017 di PPR Seri Semarak, Jalan Air Panas, Kuala Lumpur. Turut hadir, Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melawat gelanggang futsal sumbangan Yayasan Cruyff selepas merasmikannya ketika majlis bersama Perdana Menteri sempena Hari Hasanah 2017 di PPR Seri Semarak, Jalan Air Panas, Kuala Lumpur. Turut hadir, Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

PM rasmi Gelanggang Futsal Cruyff

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak merasmikan Gelanggang Futsal Cruyff yang ketiga dan keempat di negara ini, bersempena sambutan Hari Hasanah di PPR Seri Semarak di sini, hari ini.

Gelanggang Futsal Cruyff Seri Semarak di PPR Seri Semarak dan Gelanggang Futsal Cruyff Air Panas di PPR Kampung Baru Air Panas itu adalah hasil kerjasama antara Yayasan Hasanah dan Yayasan Johan Cruyff.

Perdana Menteri yang tiba kira-kira jam 7 malam di PPR Seri Semarak di sini, menandatangani plak perasmian gelanggang futsal yang dinamakan sempena legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff.

Najib kemudian masuk ke gelanggang itu dan berbual bersama pemain futsal PPR Seri Semarak, sebelum menjaringkan gol menerusi sepakan penalti sebagai gimik pelancaran, sebelum meninggalkan majlis kira-kira jam 7.25 petang.

Turut hadir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Program Gelanggang Futsal Cruyff yang dikendalikan Yayasan Johan Cruyff, bertujuan untuk menyediakan peluang kepada kanak-kanak dan belia kurang berkemampuan bagi mengasah bakat mereka dalam sukan futsal.

Gelanggang Futsal Cruyff yang pertama di Malaysia dibina di Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru, Johor dan dirasmikan pada 2012, manakala yang kedua adalah di Brickfields, Kuala Lumpur pada 2013.

Program Hari Hasanah di PPR Seri Semarak, diraikan lebih 4,000 penduduk kawasan itu, menerusi pelbagai aktiviti seperti bengkel kesihatan, seni kanak-kanak, sesi animasi, eksperimen Sains, persembahan muzik serta perkhidmatan kerajaan seperti khidmat nasihat peguam, kaunseling keluarga dan ceramah kerjaya.

Terdahulu, sebelum tiba di PPR Seri Semarak, Perdana Menteri berkesempatan menanam pokok Belian di Taman Tugu sebagai komitmen kerajaan terhadap pemuliharaan warisan dan alam sekitar, bersempena sambutan Hari Hasanah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari ketika ditemui berkata, pihaknya mahu masyarakat melakukan apa sahaja kerja kebajikan pada Hari Hasanah, sama ada amalan kebajikan kecil atau besar kerana ia memberi impak besar.

"Kami juga berharap Hari Hasanah diterima oleh masyarakat dan disambut pada hari Sabtu ke tiga dalam bulan September setiap tahun," katanya.

Berita Harian X