Rabu, 6 September 2017 | 6:10pm
TAN Sri Nor Mohamed Yakcop keluar dari Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas prosiding Suruhanjaya menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
TAN Sri Nor Mohamed Yakcop keluar dari Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas prosiding Suruhanjaya menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Forex: Nor Mohamed mengaku tak maklum PM

PUTRAJAYA: "Saya mengaku bertanggungjawab atas kerugian urus niaga mata wang asing negara yang berlaku sekitar tahun 1990-an," kata Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Bekas Penasihat Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata demikian ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar 1990-an, hari ini.

Nor Mohamed yang juga saksi ke-17, berkata beliau juga tidak menafikan kebertanggungjawabannya ke atas kerugian urus niaga mata wang asing itu, malah, turut meletakkan jawatan daripada BNM.

"Kerugian urus niaga mata wang asing negara memang berlaku. Tiada perlu menafikannya.

"Pada waktu itu, insiden berkenaan dilihat seperti pengakhiran sedih kepada perkhidmatan saya selama 25 tahun terhadap negara, melalui BNM," katanya yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Nor Mohamed berkata bagi tempoh 1986 hingga 1993, beliau tidak pernah berbincang dengan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri tentang urus niaga mata wang asing Bank Negara.

"Saya tidak ingat mengenai keuntungan dan kerugian dalam urus niaga forex dari tahun 1986 hingga 1993," katanya.

Berita Harian X