Khamis, 7 September 2017 | 2:29pm
DR. Chandra Muzaffar ketika ditemuramah di pejabat JUST, Jalan Gasing. - Foto Eizairi Shamsudin

Tribunal berkaitan Rohingya di Kuala Lumpur

PETALING JAYA: Tribunal antarabangsa mengenai situasi etnik Rohingya, Kachin dan minoriti lain di Myanmar akan diadakan di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) di ibu negara pada 18 hingga 22 September ini.

Dianjurkan Permanent People's Tribunal (PPT) yang berpangkalan di Rome, Itali, ia akan membicarakan jenayah kemanusiaan dilakukan Kerajaan Myanmar ke atas etnik minoriti negara bekas junta itu khususnya Rohingya.

Tribunal umum yang dibuka kepada orang ramai itu dikelolakan Gerakan Keadilan Sedunia (JUST), Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) serta Forum Antarabangsa Hubungan Buddha-Muslim (BMF).

Presiden JUST, Dr Chandra Muzaffar berkata tribunal itu akan menampilkan saksi jenayah kemanusiaan dari etnik Rohingya dan Kachin yang berdepan penindasan di Myanmar.

Katanya, tribunal di Kuala Lumpur itu adalah sesi kedua tribunal membicarakan jenayah kemanusiaan dilakukan Kerajaan Myanmar ke atas etnik minoriti dengan sesi pertama tribunal telah dilangsungkan di London pada Mac lalu.

"Output daripada perbicaraan tribunal itu akan disalurkan kepada badan dunia khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan ke atas Myanmar dan seterusnya menghentikan tindakan keganasan.

"Tribunal umum ini juga diharapkan meningkatkan kesedaran masyarakat umum untuk bersuara dalam isu Rohingya, Kachin dan etnik minoriti lain yang ditindas di Myanmar," katanya kepada BH di pejabatnya, di sini sebentar tadi.

PPT ditubuhkan sejak 1979 oleh senator dan peguam Itali, Lelio Basso yang mendengar kes perbicaraan pelanggaran hak asasi secara kolektif. 

Chandra berkata sesi tribunal di London meminta PBB dan ASEAN untuk mengambil langkah efektif untuk menghentikan penindasan ke atas etnik Rohingya dan Kachin di Myanmar.

"Pembunuhan perlu dihentikan, Myanmar kena kembalikan hak etnik minoriti," katanya merujuk keganasan berterusan ke atas Rohingya di wilayah utara Rakhine yang menyaksikan lebih 123,000 etnik Rohingya lari ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu.

Organisasi atau individu yang ingin menyokong penganjuran tribunal jenayah kemanusiaan yang dibuka secara percuma kepada umum itu, boleh menyumbang kepada JUST melalui akaun Maybank 514169170716. 

Isu pembantaian ke atas etnik Rohingya yang disifatkan sebagai pelarian tanpa negara oleh PBB kembali menjadi perhatian dunia sejak dua minggu lalu susulan operasi berdarah tentera Myanmar di wilayah miskin Rakhine.

Berita Harian X