Khamis, 7 September 2017 | 2:57pm
MASTURA (kiri) menyampaikan replika cek kepada pemenang hadiah utama, Muhammad Salahuddin Eswandi (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh bapanya, Mohd Ashik (kanan) dan ibu, Nurmahayu Idrus pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bulanan 20 Tahun (Julai 2017) di SK TUDM Subang. - Foto Muhammad Sulaiman
MASTURA (kiri) menyampaikan replika cek kepada pemenang hadiah utama, Muhammad Salahuddin Eswandi (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh bapanya, Mohd Ashik (kanan) dan ibu, Nurmahayu Idrus pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bulanan 20 Tahun (Julai 2017) di SK TUDM Subang. - Foto Muhammad Sulaiman

Ibu bapa perlu rebut peluang

SHAH ALAM: Masih ramai ibu bapa murid Tahun 1 sekolah bantuan penuh kerajaan yang belum merebut Insentif Khas Geran Sepadan percuma RM50 ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i/SSPN-i Plus).

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid, berkata sehingga Julai lalu hanya 22,000 daripada kira-kira 500,000 murid Tahun 1 yang mendapat manfaat skim itu.

"Bermula 1 Januari lalu, mana-mana ibu bapa atau penjaga yang membuat simpanan untuk anak mereka, akan menerima simpanan percuma bernilai RM50.

"Untuk tujuan itu, sebanyak RM25 juta disediakan untuk pelajar Tahun 1 yang layak, tetapi sehingga 1 Julai lalu, hanya 5 peratus daripada pelajar Tahun 1 menerima simpanan percuma ini," katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bulanan 20 Tahun (Julai 2017) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan, Pejabat PTPTN negeri, Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru SK TUDM Subang, Brigadier General Datuk Abdul Manaf Md Zain dan Guru Besar SK TUDM Subang, Ranizam Yusoff.

Mastura berkata, ibu bapa atau penjaga tidak perlu membuat permohonan untuk mendapatkan insentif itu, sebaliknya hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan SSPN-i/SSPN-i Plus tahun ini bagi melayakkan anak masing-masing menikmati insentif berkenaan.

"Jika belum mempunyai akaun, ibu bapa atau penjaga perlu membuka SSPN-i/SSPN-i Plus untuk anak masing-masing. Bagi yang sudah ada, hendaklah membuat penambahan simpanan sekurang-kurangnya RM50 dalam tahun 2017.

"Insentif RM50 akan dimasukkan dalam akaun SSPN-i/SSPN-i Plus sebagai simpanan tambahan, tanpa ditolak premium takaful bagi ibu bapa atau penjaga yang sudah mempunyai kedua-dua akaun itu," katanya.

Pada masa sama, Mastura berkata, PTPTN melancarkan Cabutan WOW! 20 Tahun kepada semua pendeposit SSPN-i/SSPN-i Plus yang membuka atau penambahan akaun dengan lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 disediakan.

"Cabutan ini merangkumi Cabutan Bulanan dan Cabutan Istimewa sempena ulang tahun ke-20 penubuhan PTPTN. Ia sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada masyarakat yang menyimpan dengan PTPTN.

"Pendeposit SSPN-i Plus layak memenangi hadiah utama Cabutan Istimewa sebanyak RM100,000, manakala pendeposit SSPN-i sebanyak RM10,000 setiap bulan dan ia dikhususkan untuk yang membuat pembukaan atau penambahan simpanan Pelajar Tahun 1 2017.

"Tahniah kepada Mohd Ashik Abdullah yang memenangi Cabutan Bulanan WOW! 20 Tahun PTPTN bagi Cabutan Bulanan (Julai 2017). Jadi, ibu bapa yang mempunyai anak Tahun 1 perlu rebut peluang yang disediakan ini," katanya.

Sementara itu, seorang juruterbang, Mohd Ashik, 42, tidak menyangka usaha menyimpan untuk anak tunggalnya Muhammad Salahuddin Eswandi, yang berusia tujuh tahun, membawa tuah kepada mereka sekeluarga.

"Saya terkejut dan bersyukur kepada Allah kerana terpilih sebagai pemenang utama Cabutan Bulanan 20 Tahun PTPTN (Julai 2017) sebanyak RM10,000. Terima kasih PTPTN kerana mewujudkan skim ini.

"Membuat simpanan penting kepada murid supaya kita tidak terlalu bergantung kepada pinjaman. Tambahan pula kos pendidikan meningkat dari tahun ke tahun.

"Jadi, ini ialah persediaan supaya pada masa akan datang anak-anak tidak terbeban apabila memasuki institusi pengajian tinggi," katanya.

Berita Harian X