Jumaat, 8 September 2017 | 7:00am
MASTURA (kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada Muhammad Salahuddin Eswandi (tengah) sambil diperhatikan Mohd Ashik dan ibunya, Nurmahayu Idrus pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bulanan 20 Tahun (Julai 2017) di SK TUDM, Subang, semalam. - Foto Muhammad Sulaiman
MASTURA (kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada Muhammad Salahuddin Eswandi (tengah) sambil diperhatikan Mohd Ashik dan ibunya, Nurmahayu Idrus pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bulanan 20 Tahun (Julai 2017) di SK TUDM, Subang, semalam. - Foto Muhammad Sulaiman

Hanya 5 peratus murid manfaat insentif RM50

SHAH ALAM: Kira-kira 95 peratus ibu bapa pelajar Tahun Satu sekolah kerajaan seluruh negara masih belum merebut peluang Insentif Khas Geran Sepadan percuma RM50 ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i/SSPN-i Plus).

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid, berkata sehingga Julai lalu hanya 22,000 pelajar daripada 500,000 murid Tahun Satu yang mendapat manfaat skim itu.

"Bermula 1 Januari lalu, mana-mana ibu bapa atau penjaga yang membuat simpanan untuk anak mereka, akan menerima simpanan percuma bernilai RM50.

"Untuk tujuan itu, sebanyak RM25 juta disediakan untuk pelajar Tahun Satu yang layak, tetapi sehingga 1 Julai lalu, hanya lima peratus daripada pelajar Tahun Satu menerima simpanan percuma ini," katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bulanan 20 Tahun (Julai 2017) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang di sini, semalam.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK TUDM Subang, Datuk Abdul Manaf Md Zain dan Guru Besar SK TUDM Subang, Ranizam Yusoff.

Mastura berkata, ibu bapa atau penjaga tidak perlu membuat permohonan mendapatkan insentif itu, sebaliknya hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan SSPN-i/SSPN-i Plus tahun ini bagi melayakkan anak mereka menikmati insentif berkenaan.

"Ibu bapa atau penjaga perlu membuka akaun SSPN-i/SSPN-i Plus untuk anak masing-masing. Bagi yang sudah ada akaun, perlu membuat penambahan simpanan sekurang-kurangnya RM50 pada tahun ini.

Premium takaful tak ditolak

"Insentif RM50 akan dimasukkan dalam akaun SSPN-i/SSPN-i Plus sebagai simpanan tambahan, tanpa ditolak premium takaful bagi ibu bapa atau penjaga yang sudah mempunyai kedua-dua akaun itu," katanya.

Pada masa sama, Mastura berkata, PTPTN melancarkan Cabutan WOW! 20 Tahun kepada semua pendeposit SSPN-i/SSPN-i Plus yang membuat pembukaan atau penambahan akaun dengan lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 disediakan.

"Cabutan ini merangkumi Cabutan Bulanan dan Cabutan Istimewa sempena ulang tahun ke-20 penubuhan PTPTN. Ia sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada masyarakat menyimpan dengan PTPTN.

Terkejut diumum pemenang

"Pendeposit SSPN-i Plus layak memenangi hadiah utama Cabutan Istimewa sebanyak RM100,000, manakala pendeposit SSPN-i sebanyak RM10,000 setiap bulan dan dikhususkan kepada yang membuka akaun atau menambah simpanan murid Tahun Satu pada tahun ini.

Sementara itu, juruterbang,, Mohd Ashik Abdullah, 42, yang memenangi Cabutan Bulanan WOW! 20 Tahun PTPTN bagi Julai 2017, tidak menyangka usaha menyimpan untuk anak tunggalnya, Muhammad Salahuddin Eswandi, 7, membawa tuah kepada mereka sekeluarga.

"Saya terkejut menjadi pemenang dan menerima RM10,000. Simpanan penting kepada pelajar supaya kita tidak terlalu bergantung kepada pinjaman, tambahan pula kos pendidikan meningkat setiap tahun.

"Jadi, ini adalah persediaan supaya pada masa depan, anak tidak terbeban apabila memasuki institusi pengajian tinggi kelak," katanya.

Berita Harian X