Jumaat, 8 September 2017 | 4:08pm

MAINS tukar pinjaman kepada derma siswa

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menukar status pinjaman kepada derma siswa bagi 26 penuntut tajaannya yang menamatkan pengajian dengan cemerlang di beberapa universiti di Timur Tengah, tahun lalu.

Setiausaha MAINS, Kamal Amran Kamaruddin, berkata penukaran status itu membabitkan penuntut berasal dari negeri ini yang belajar di Universiti Yarmouk, Jordan; Universiti Al-Azhar, Mesir; Universiti Hasan II dan Universiti Mohamad V di Maghribi.

Katanya, secara keseluruhan pihaknya memperuntukkan RM1.25 juta bagi menampung kos pengajian semua penuntut terbabit dengan pinjaman yang ditukar kepada derma siswa berjumlah RM909,250.

"Semua pelajar terbabit memperoleh keputusan Mumtaz, Jayid, Jayid Jiddan dan Makbul dan menikmati potongan pinjaman atau pertukaran kepada derma siswa antara 25 hingga 100 peratus.

"Penukaran status pinjaman kepada derma siswa ini diharap dapat memberi semangat kepada pelajar baharu yang akan melanjutkan pengajian di Timur Tengah bagi sesi tahun ini dan seterusnya supaya mereka belajar bersungguh-sungguh," katanya pada Majlis Penutupan Program Intensif Timur Tengah 2017 di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Pengerusi MAINS. Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Selamat Paigo.

Sementara itu, Kamal Amran, berkata seramai 14 calon bidang pengajian Islam di Maghribi serta enam bakal penuntut perubatan dan pergigian di Mesir, menjalani latihan intensif itu sebagai persiapan untuk melanjutkan pengajian tidak lama lagi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X