Sabtu, 9 September 2017 | 5:59pm

Rakyat perlu bersatu bantah penindasan etnik Rohingya

TUMPAT: Rakyat di negara ini diminta bersatu bagi menzahirkan bantahan kepada penindasan dan kekejaman yang berlaku terhadap etnik Rohingya di Rahkhine, Myanmar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penentangan terhadap krisis yang berlaku perlu diluahkan rakyat negara ini tanpa mengira perbezaan agama.


TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto fail NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Katanya, penindasan ini perlu dilihat bukan saja dari aspek keagamaan, malah dari sudut kemanusiaan oleh masyarakat.

"Bagi menentang apa yang berlaku di sana, rakyat di Malaysia harus bersama-sama sekata dan senada untuk menyatakan pendirian mereka untuk menghentikan tindakan itu.

"Apa yang sedang berlaku bukan saja menyentuh aspek agama Islam, malah ia membabitkan kemanusiaan dan rakyat perlu senada untuk menyampaikan bantahan," katanya.

Asyraf berkata, lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Rumah Putih, Amerika Syarikat pada 12 September ini turut membawa agenda perbincangan terhadap isu Rohingya.

"Lawatan Perdana Menteri bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump nanti turut membincangkan isu ini dan diharapkan perkara ini tidak menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak.

"Kita juga berharap hasil pertemuan itu nanti akan memberi satu kata putus dari AS untuk mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya satu tindakan tegas diambil terhadap negara Myanmar," katanya.

Pada masa sama, Asyraf turut melihat rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini sudah menyatakan pandangan peribadi mereka dalam bantahan mengenai kekejaman ini.

"Saya lihat ruangan komen di media sosial, ramai antara kita daripada pelbagai bangsa menyuarakan tidak setuju terhadap apa yang dilakukan Kerajaan Myanmar dan kita berharap ini satu perkembangan baik ke arah penyelesaian krisis di negara itu," katanya.

353 dibaca
Berita Harian X