Ahad, 10 September 2017 | 1:39pm
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melawat gerai jualan sempena jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 di Mersing Harbour Centre, Mersing. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SULTAN Johor Sultan Ibrahim berkenan menandatangani plak perasmian bangunan Mersing Harbour Centre sempena Kembara Mahkota Johor 2017 di Mersing Harbour Centre, Mersing. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Mersing Harbour Centre jadi tumpuan baharu

MERSING: Pusat pelancongan dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), Mersing Harbour Centre yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bakal melonjak kedudukan daerah ini sebagai destinasi pelancongan utama.

Projek bernilai RM12 juta itu satu daripada projek ECERDC bagi mengukuhkan kedudukan Mersing sebagai sebuah destinasi pelancongan utama di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Majlis pelancaran bangunan itu disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena hari kedua jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017, hari ini.

Turut berangkat, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata Mersing Harbour Centre mempunyai lebih daripada 50 unit kedai makanan dan minuman, kereta sorong serta kiosk dengan keutamaan diberi kepada usahawan berkelayakan daripada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Katanya, antara usahawan yang ditempatkan di situ ialah sembilan peserta dewasa Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower ECER di bawah inisiatif Pembangunan Modal Insan ECERDC.

"Pembangunan Mersing Harbour Centre antara satu projek berimpak tinggi yanh dilaksanakan Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC dan kerajaan negeri sebagai sebahagian strategi mentransformasi Mersing menjadi destinasi pelancongan utama dan gerbang pelancongan ke Taman Laut Sultan Iskandar.

"Bangunan ini berdasarkan konsep 'dari hutan hujan ke terumbu karang' yang menggabungkan semua produk, aset dan pembangunan dari Taman Negara Endau-Rompin ke pantai, pulau dan terumbu karang di persisiran pantai Mersing yang berkelas dunia.

"Sejajar dengan pertumbuhan sektor pelancongan Mersing, ECERDC bersama kerajaan negeri Johor akan terus menambah baik program pembangunan modan insan kami seperti Empower ECER dan Entrepreneur ECER bagi meningkatkan kemahiran kumpulan bakat tempatan," katanya dalam satu kenyataan selepas pelancaran Mersing Harbour Centre di sini, hari ini.

Seramai 29 pelajar dari Program Latihan Akademik Empower ECER, lima peserta Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower ECER dan seorang peserta Entrepreneur ECER di Mersing diberikan anugerah pencapaian pada majlis itu sebagai pengiktirafan kejayaan mereka dalam bidang akademik atau keusahawanan.

Pada majlis sama, Sultan Ibrahim berkenan menandatangani Sijil Malaysia Book of Record (MBOR) 'Struktur Batu Karang Tiruan Terbesar' yang kemudiannya disampaikan wakil MBOR kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Adib Azhari Daud.

Berita Harian X