Ahad, 10 September 2017 | 10:44pm
PROF Datuk Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah

Pantai hilang 4 meter setahun

KUALA LUMPUR: Kawasan pinggir pantai empat negeri iaitu Melaka, Johor, Pahang dan Kelantan, dikesan hilang hingga empat meter setahun, akibat 'ditelan' laut akibat hakisan ombak secara berterusan.

Beberapa negeri lain seperti Selangor dan Perak turut mengalami hakisan, namun tidak terlalu kritikal berbanding empat negeri terbabit, yang memerlukan langkah segera kerajaan menanganinya.

Pengarah Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah, berkata kawasan pinggir pantai beberapa lokasi di empat negeri itu, dikesan mengalami hakisan teruk sejak 1980-an sehingga ada penempatan penduduk musnah sepenuhnya dan terpaksa berpindah.

gn4id:22604771

"Sebahagian kawasan itu juga dikesan masih pada tahap kritikal kerana kehilangan tiga hingga empat meter daratan dalam tempoh setahun dan bertambah genting apabila pembangunan dikatakan dilaksanakan tanpa perancangan rapi atau reka bentuk dilakukan secara 'semberono'.

"Beberapa projek seperti tebus guna tanah dan penahan ombak konkrit menjadi penyumbang utama punca kehilangan dataran di lokasi berhampiran," katanya kepada BH.

Menerusi kajian terperinci perubahan iklim terhadap beberapa penempatan penduduk, antaranya di Kampung Portugis, Kampung Permatang Pasir, Kampung Rantau dan Teluk Mas Baroh di Melaka, mengalami hakisan teruk dipercayai akibat pembangunan tidak terkawal.

Di kawasan Kampung Portugis dan Teluk Mas Baroh difahamkan mengalami hakisan sejak 2008, manakala Kampung Permatang Pasir dikesan mengalami hakisan empat meter tanah setiap tahun sejak 2005.

Projek tebus tanah yang dibangunkan di beberapa kawasan di negeri itu dipercayai menjadi punca utama, rentetan arus laut dan aliran pantai yang sepatutnya mengalir terus, tersekat sehingga menyebabkan kesan buruk terhadap tebing serta pantai di lokasi terbabit.

Di Johor, beberapa kawasan seperti pesisir pantai Batu Pahat, Tanjung Piai, Pontian dan Pulau Kukup, dikesan mengalami hakisan pada tahap kritikal dan ada sesetengah lokasi berdepan masalah itu sejak tiga dekad lalu.

KEADAAN pesisir pantai Taman Negara Tanjung Piai yang di ancam hakisan. - Foto IHSAN IRDA

Pulau Sialu di Batu Pahat sebelum ini adalah penempatan utama bagi nelayan, namun akibat peningkatan aras laut dan hakisan, penduduk terpaksa dipindahkan ke penempatan baharu yang dikenali sebagai Desa Sri Banang.

Kampung Minyak Beku, Segenting, Sungai Ayam Laut, Sungai Suloh, Sungai Koris, Sungai Lurus, Senggarang Laut, Parit Botak dan Teluk Punggor adalah antara kawasan yang mengalami hakisan pantai.

Pulau Kukup yang menempatkan Taman Negara turut dikesan semakin mengecil apabila hakisan kritikal iaitu empat meter berlaku di situ. Kajian turut mendapati paya bakau yang mengelilingi pulau itu semakin hilang.

Antara kawasan yang paling terjejas adalah di Tanjung Piai sehingga memaksa kerajaan membangunkan penahan ombak konkrit pada 2015 akibat kemusnahan daratan yang terlalu teruk akibat ombak besar dan arus kapal yang melalui laluan air di situ.

PANTAI Penggorak, Kuantan turut mengalami hakisan. -Foto Farizul Hafiz Awang

Walaupun terdapat perubahan positif seperti penambahan kestabilan paya bakau, kesan hakisan di Tanjung Piai dilihat antara yang terburuk akibat sudah berlarutan sejak 30 tahun lalu.

Di Pahang pula, hakisan teruk berlaku di beberapa lokasi, namun sebuah kawasan pelancongan di Pahang iaitu Summerset Resort, Rompin, mempunyai kesan paling ketara kerana bangunan yang dibina sudah runtuh seperti dilanda 'tsunami' sejak lima ke enam tahun lalu.

Kejadian itu dipercayai berpunca akibat pembangunan yang tidak teratur iaitu dibina terlalu hampir dengan gigi pantai dan tidak mengambil kira kesan jangka panjang seperti arus ombak.

Hakisan turut dikesan terhadap beberapa lokasi di Beserah dan Balok, yang mana wujudnya jalan utama ke Pelabuhan Kuantan yang sudah dimamah ombak. Kajian menunjukkan sejak 16 tahun lalu, hakisan berlaku hingga 100 meter dan kini sedang rakus memamah daratan hingga ke jalan utama.

KEADAAN hakisan di jalan utama Kuantan-Perlabuhan di Pantai Penggorak, Kuantan.

Sekurang-kurangnya lapan pantai di Pahang mengalami hakisan kritikal dan perlu ditangani segera bagi mengelakkan gangguan terhadap aktiviti dan ekonomi penduduk setempat untuk jangka panjang.

Kawasan berkenaan adalah Pantai Cherating, Gelora, Balok serta Cherok Paloh (Kuantan), Pantai Juara di Pulau Tioman dan Tanjung Pahang (Rompin) dan Pantai Nenasi di Pekan.

Hakisan membabitkan sepanjang 10.3 kilometer (km) dan kadar hakisan di semua pantai itu adalah dari 4.2 meter hingga 17.3 meter setahun yang dikategorikan sebagai kritikal.

Kadar hakisan paling tinggi dicatatkan di Pantai Balok iaitu 17.3 meter setahun sepanjang 1.2km manakala paling rendah di Pantai Nenasi, Pekan dengan 4.2 meter membabitkan jarak 1.7km.

MUHAMAD Kadir. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang, Muhamad Kadir, berkata pemantauan pihaknya mendapati tiada kawasan terjejas teruk hingga menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke kawasan lain dan perkampungan atau penempatan 'hilang' daripada peta negeri ini.

Di Kelantan, hakisan yang berlaku di negeri itu dikesan antara terburuk di negara ini dan sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu, malah difahamkan berbatu-batu daratan sudah tenggelam dimamah ombak Laut China Selatan sepanjang tempoh terbabit.

Kejadian itu turut menyebabkan beberapa pantai, khususnya Pantai Mek Mulong dan Pantai Irama menerima kesan buruk sehingga menyebabkan beberapa kampung tradisional di tepi pantai terpaksa dipindahkan.

 

Pantai Sabak juga adalah kawasan yang terjejas dengan hakisan pantai. Punca hakisan itu berlaku adalah disebabkan pembinaan dinding konkrit di muara sungai untuk melajukan aliran air Sungai Peng Datu ke laut namun langkah itu dipercayai 'memotong' perjalanan arus laut sehingga memaksa ia menghakis kawasan berhampiran.

AIR laut di pesisir pantai di Banda Hilir, Melaka yang semakin keruh akibat pembangunan pesat di kawasan sekitar. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Rumah, bangunan lenyap akibat hakisan

MASIH terbayang dalam ingatan Ramlah Abdullah, keadaan bandar Cherok Paloh, Kuantan pada sekitar 1947, yang boleh dikatakan agak pesat dengan pelbagai kemudahan seperti sekolah, perumahan dan bangunan awam.

Pesara guru itu masih ingat ketika itu berusia sembilan tahun ketika bersekolah bersama rakan sebaya. Namun, ia hanya tinggal kenangan kerana sekolah, perumahan dan bangunan awam di kawasan itu 'lenyap' sejak 50 tahun lalu akibat hakisan pantai.

Kini hanya rumah pusaka keluarga Ramlah masih berdiri kukuh dan bekas tapak bangunan membentuk seperti kuala yang menjadi lokasi kaki pancing.

Beberapa tahun lalu, hakisan pantai menghampiri rumahnya dan aduan mereka mendapat perhatian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang yang meluluskan peruntukan bagi membina tembok batu sepanjang kira-kira dua kilometer bagi menghalang hakisan pantai menjadi lebih teruk.

Ramlah berkata, pembinaan tembok batu itu sedikit sebanyak melegakan mereka sekeluarga namun keadaan itu tidak berpanjangan apabila berlaku hakisan pantai sejak Januari lalu.

"Memang ia tidak terlalu teruk seperti sebelum ini, tetapi memang ada hakisan pantai berkemungkinan projek pembangunan berhampiran, kami berharap pihak berkuasa memantau keadaan.

PANTAI di Kampung Cherok Paloh, Kuantan ditambak bagi mengelakkan hakisan menjadi teruk. - Foto Luqman Hakim zubir

"Kami berterima kasih kepada kerajaan yang membina tembok batu tetapi tidak pasti sampai bila ia boleh bertahan," katanya.

Katanya, tanah miliknya itu memang berisiko mengalami hakisan pantai, namun dia tidak mahu meninggalkan kediamannya kerana ia adalah rumah pusaka keluarganya.

"Ramai sudah berpindah lain dan ada juga penduduk menjualnya kepada orang lain. Kalau ikutkan, tanah makcik ada sekitar 1.2 hektar namun sebahagian besarnya sudah menjadi laut membentuk kuala.

"Kami akan cuba bertahan tinggal di sini, dahulu anak pernah bawa tinggal di tempat lain tetapi cuma hanya bertahan satu tahun sahaja," katanya.

INFO: Kawasan yang teruk terhakis:

  • Melaka - Kampung Portugis, Kampung Permatang Pasir, Kampung Rantau dan Teluk Mas Baroh
  • Johor - Pesisir pantai Batu Pahat, Tanjung Piai, Pontian dan Pulau Kukup
  • Pahang - Rompin, Berserah dan Balok
  • Kelantan - Pantai Sabak, Pantai Mek Mulong dan Pantai Irama

Berita Harian X