Isnin, 11 September 2017 | 4:29pm
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) diberi penerangan daripada Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua dari kiri) dan Penyelaras Residen PBB di Malaysia, Stefan Priesner (kiri) mengenai Projek Pertumbuhan Wilayah Koridor Utara ketika melawat pameran pada Majlis Perasmian Dialog Pangkor 2017 di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Dialog Pangkor: Pacu pembangunan lestari

IPOH: Penganjuran Dialog Pangkor 2017 yang membuka tirainya hari ini menjadi medan kepada penyediaan Laporan Pembangunan Manusia Peringkat Negeri, di samping pemacu ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Koordinator Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Stefan Priesner, berkata Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), berbangga menjadi satu rakan kongsi kepada kerajaan negeri Perak, menerusi penganjuran dialog berkenaan.

Ketika ini kata beliau, pihaknya sedang melengkapkan kerangka hala tuju SDG dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, dan ia akan disusuli dengan pelbagai program dan kegiatan.

"Kami tidak sabar untuk menjadi rakan kongsi kepada kerajaan Perak dalam penyediaan Laporan Pembangunan Manusia Peringkat Negeri dan strategi pelaksanaan SDG. Dialog Pangkor ini akan memberikan input penting ke arah proses ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Dialog Pangkor 2017 di sini.

Perasmian program itu disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan, Dr Mazalan Kamis.

Priesner berkata, Dialog Pangkor 2017 juga penting kepada usaha mencari penyelesaian terhadap sesuatu isu penting meliputi soal ekonomi, keusahawanan, wanita, belia, penuaan serta alam sekitar.

"Dialog pada hari ini sangat baik untuk kita melihat dunia supaya bertindak secara lokaliti. SDG tidak dapat dizahir menerusi satu perniagaan, negara atau individu sahaja tetapi ia memerlukan tindakan pada peringkat negara, global hingga ke peringkat tempatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan di negeri ini berjaya mencapai prestasi membanggakan dalam pelbagai dimensi, termasuk kadar kemiskinan dengan jurangnya berjaya dikurangkan daripada 45 peratus kepada hanya 0.7 peratus antara tahun 1970 dan 2004.

Sementara itu, Dr Mazalan berkata, penganjuran dialog yang menyentuh 10 subtema termasuk ekonomi, pembangunan insan, alam sekitar, inovasi dan keusahawanan, akan dikongsi dan diperhalusi semua panel pakar dalam bidang masing-masing.

Hari pertama Dialog Pangkor 2017 menampilkan bekas angkasawan wanita Amerika Syarikat yang juga pakar kimia, Dr Catherine Cady Coleman serta bekas Presiden Ecuador, Jorje Jamil Mahuat Witt.

Berita Harian X