Selasa, 12 September 2017 | 12:43am
RAKYAT menunggu di sepanjang jalan pada hari pertabalan Sultan Abdul Halim dan Sultanah Bahiyah sebagai Sultan dan Sultanah Kedah pada 20 Februari 1959.

Sultan Kedah berjiwa rakyat

KEMANGKATAN Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, 89, semalam meninggalkan kesan mendalam bukan hanya kepada rakyat Kedah, malah seluruh negara yang mengenali baginda sebagai seorang raja yang sentiasa mengambil berat soal rakyat selain amat menitikberatkan soal pendidikan.

Baginda menghembuskan nafas terakhir jam 2.30 petang di Istana Anak Bukit, Alor Setar setelah memerintah Kedah selama 59 tahun.

Kemangkatan baginda adalah satu kehilangan besar kepada rakyat kerana bukan saja baginda berjiwa rakyat, malah mencipta sejarah baharu dalam pemerintahan beraja di negara ini kerana menjadi sultan pertama yang menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.


GAMBAR Tuanku Abdul Halim dirakam pada 19 Ogos 1965.

Almarhum baginda begitu disenangi oleh semua, kerana cukup dikenali dengan perwatakan baik, pertuturan lembut dan merendah diri yang menjadikan baginda kesayangan rakyat Kedah.

Baginda pertama kali dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1970 untuk tempoh bermula 23 Julai 1970 hingga 21 September 1975 dan kemudiannya dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 mulai 13 Disember 2011 menggantikan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Sultan Abdul Halim adalah anakanda ketiga Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhumah Yang Mulia Tunku Sofia Tunku Mahmud. Baginda dilantik menjadi Raja Muda Kedah pada 6 Ogos 1949 pada usia 21 tahun ketika masih berada di United Kingdom kerana melanjutkan pelajaran dan kemudian ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-27 pada 20 Februari 1959.


TUANKU Abdul Halim melafazkan titah baginda di depan anggota-anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat selepas memeriksa perbarisan kehormat di Bangunan Parlimen pada 23 Februari 1971.

Pada 21 September 1965, Tuanku Abdul Halim dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-4 bagi menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin dan kemudiannya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1970. Pada 13 Disember 2006, baginda sekali lagi dilantik Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda juga menjalankan tugas sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong selama sebulan iaitu pada 26 Januari hingga 26 Februari 2010 berikutan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menjalani rawatan fisioterapi di Jerman.

Almarhum Sultan Abdul Halim adalah pencinta alam semula jadi, mempunyai sebuah zoo mini yang menempatkan pelbagai jenis burung dan binatang, termasuk kuda, kijang, landak, anak buaya tembaga, monyet dan arnab. Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan pemerintahan, Almarhum baginda masih ada masa untuk aktif dalam sukan kegemarannya - golf, selain turut meminati sukan bola sepak dan memberi perhatian serius terhadap perkembangan pasukan negeri Kedah dan pasukan negara.


TUANKU Abdul Halim diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV pada 6 Jun 2014.

Almarhum yang turut menjadikan fotografi dan mengumpul burung eksotik di istana baginda, selain membaca, bersukan dan muzik sebagai hobi mengisi masa lapang, memulakan zaman persekolahan rendah di Sekolah Melayu Alor Merah, Sekolah Melayu Titi Gajah dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Lulusan Wadham College Oxford, United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah pada 1950-an. Baginda pernah dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Kor Peninjau Malaysia pada 23 Mac 1966 sehingga tarikh baginda dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-5.

Dengan pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga menjadi Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.


TUANKU Abdul Halim beramah mesra dengan penduduk tempatan, Ahmad Ghazali (kanan) selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Rafeah, Taman Uda, Alor Setar pada 10 Januari 2014.

Sultan Abdul Halim bertemu jodoh dengan Almarhumah Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada Mac 1956 di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan sebelum bertemu jodoh dengan Sultanah Haminah Hamidun pada 25 Disember 1975 yang kemudiannya dianugerahkan gelaran Sultanah Kedah pada 9 Januari 2004 selepas kemangkatan Sultanah Bahiyah.

Almarhumah Sultanah Bahiyah adalah puteri sulung Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad yang juga Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Hasil perkahwinan antara Sultan Abdul Halim dan Sultanah Bahiyah, pasangan diraja ini dikurniakan tiga puteri, Puteri Tunku Soraya, Datuk Seri Diraja Tunku Sarina (kembali ke rahmatullah pada 31 Ogos 1991 pada usia 31 tahun) dan Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Biodata

  • Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
  • Diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit
  • Pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah, Sekolah Melayu Titi Gajah, Kolej Sultan Abdul Hamid, Ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam dari Wadham College, Oxford, United Kingdom.
  • Pemangku Sultan Kedah pada Mac 1957.
  • Menaiki takhta pada 15 Julai 1958.
  • Ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-28 pada 1959.
  • Yang di-Pertuan Agong kelima bagi tempoh 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975.
  • Yang di-Pertuan Agong ke-14 mulai 13 Disember 2011 hingga 12 Disember 2016.

2776 dibaca
Berita Harian X