Selasa, 12 September 2017 | 12:53am
RAJA Sarina memuat naik gambar beliau bersama Almarhum Tuanku Abdul Halim, yang digelar Tok, dengan catatan menyentuh hati di laman sosial Instagram rasminya.

'Tok' Sultan selamanya bagi saya

KUALA LUMPUR: Cucunda Almarhum Sultan Kedah, Raja Sarina Iskandar, sebentar tadi berkongsi catatan menyentuh hati mengenai Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Raja Sarina turut memuat naik gambar beliau bersama Tuanku Abdul Halim, yang digelar Tok, di laman sosial Instagram rasminya, selepas baginda disahkan mangkat pada jam 2.30 petang, semalam.

Dalam catatannya, Raja Sarina menyifatkan Kedah dan negara "kehilangan seorang raja terhebat".

"Dedikasi Tuanku kepada Kedah dan Malaysia memberikan inspirasi kepada saya ketika membesar.

"Ketika Tuanku ditabalkan sebagai Agong buat kali kedua pada usia 83 tahun, saya ikut tinggal bersama di Istana Negara.

"Ketika itu saya lihat pertama kali kehidupan di sebalik tabir Tuanku," katanya.

Tuanku Abdul Halim mencipta sejarah tersendiri apabila ditabalkan sebanyak dua kali sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1970 dan 13 Disember 2011.

Baginda menamatkan tempoh pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, hampir sembilan bulan lalu dan digantikan pemerintah Kelantan, Sultan Muhammad V.

Raja Sarina, graduan bidang kewartawanan turut menceritakan bagaimana dia melihat Tuanku Abdul Halim menangguhkan waktu makan untuk berlatih membaca titah atau ketika bekerja di pejabatnya.

"Siapakah orang yang berumur 80 tahun ke atas yang akan berbuat sebegitu? Kebanyakan daripada kita mengimpikan untuk bersara ketika berumur 50 tahun sekiranya boleh! Tapi Tuanku tidak boleh berbuat begitu sekali pun Tuanku mahu.

"Dan kadang-kadang tidak ramai orang tahu bahawa Tuanku sedang gering, tapi Tuanku masih meneruskan tugas sebagai Agong dan Sultan," katanya.

Tambahnya, Tuanku Abdul Halim turut pernah meninggalkan hospital untuk menghadiri majlis rasmi.

Katanya, beliau pernah menonton Tuanku yang sedang sakit, meninggalkan wad dan dirakamkan dalam televisyen beramah mesra dengan Perdana Menteri, Menteri dan rakyat seperti biasa.

"Tapi, sebaik sahaja majlis tamat, Tuanku pulang ke wad hospital dengan tiub berselirat di badannya. Walaupun gering, Tuanku tetap menepati masa dan tidak akan biarkan sesiapa menunggunya.

"Inilah sisi seorang Raja (Tuanku) yang tiada siapa tahu. Tuanku tidak hanya bersemayam di atas takhta sambil menikmati kekayaan sahaja sepertimana yang rakyat 'bayangkan'.

"Ada pengorbanan yang terpaksa dilakukan kerana Tuanku tidak boleh memiliki kehidupan yang normal. Tiada privasi dan jadual harian yang normal. Status Tuanku adalah amanah daripada Allah," katanya.

Tambah Raja Sarina, segelintir orang sukar memaafkan apabila ada pemimpin melakukan kesilapan dan baginda akan selalu memastikan setiap perkara dilakukan dengan terbaik.

Misalnya, Raja Sarina pernah memaklumkan mengenai blog atau seseorang yang menghina baginda, Tuanku tidak pernah murka.

"Baginda sungguh tenang dan bertitah: "Saya sudah lakukan yang terbaik."

"Tok telah lakukan yang terbaik dan lebih daripada itu dalam seluruh hidup Tok. Saya boleh menjadi puteri yang baik kerana tunjuk ajar Tok. Saya sayang sangat pada Tok..Tuanku ialah Sultan selamanya bagi saya. Al-Fatihah," katanya.

21791 dibaca
Berita Harian X