Selasa, 12 September 2017 | 11:28pm
PENDUDUK kampung berehat di pelantar berhampiran persisiran pantai yang kini dilindungi lapisan batu dan groin menerusi projek dilaksanakan JPS di Pantai Sabak. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Kubur, rumah api hilang dihakis ombak

BERMAIN bola sepak, wau dan tarik pelepah kelapa, antara permainan Norhisam Ariffin bersama rakan ketika berusia belasan tahun di Pantai Sabak, Kota Bharu, Kelantan.

Itulah keseronokan remaja bermain di pantai itu sebelum kawasan itu mula tenggelam akibat hakisan sejak 1992.

Bagi Norhisam, 41, kenangan itu masih terbayang-bayang di matanya walaupun kawasan yang menempatkan kira-kira 100 rumah termasuk kediamannya di Kampung Kemeruk Sabak sudah 'ditelan laut'.

Hakisan bukan saja menenggelamkan rumah, malah memusnahkan kubur, rumah api serta peninggalan sejarah Perang Dunia Kedua iaitu beberapa kubu tentera British ketika mempertahankan Tanah Melayu.

"Di penempatan itulah juga saya dilahir serta dibesarkan, namun kini perkampungan itu semua sudah hilang dan hanya tinggal sebagai sejarah akibat 'ditelan' laut.

"Sedikit demi sedikit pantai dihakis sejak 1992 sehinggalah turut memusnahkan rumah saya dua tahun kemudian. Keluarga saya berpindah jauh sedikit dari kawasan terjejas (kampung sama).

NELAYAN, Nik Abdul Aziz Mamat, 63, melihat keadaan beberapa rumah yang ranap dan tidak berpenghuni akibat hakisan pantai sejak tahun 2014 di Kampung Pantai, Pulai Kundur, Sabak. - Foto Faris Zainuldin

PENDUDUK, Abdul Rahim Mohd Ramli, menunjukkan bilik di belakang rumahnya yang rosak akibat dibadai ombak di Kampung Pantai, Pulai Kundur, Sabak. - Foto Faris Zainuldin

"Tiga kali saya berpindah dan kini menetap di rumah yang jaraknya kira-kira 200 meter dari pantai. Kini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah menyelesaikan masalah hakisan di pantai ini," katanya.

Sejak hakisan di kawasan itu, pantai di Kampung Tanjung Hilir, Kampung Kemerok, Kampung Sabak dan Kampung Pantai Dasar terus terhakis dan lenyap.

Kini, hanya tinggal nama memandangkan ramai penduduk asal berpindah ke penempatan baharu yang disediakan Kerajaan Pusat dan negeri.

Di sekitar Pantai Sabak yang mengalami hakisan paling teruk di Kelantan, kini dilindungi lapisan batu dan groin menerusi projek pengawalan hakisan pantai oleh JPS yang siap pada 2015.

Penduduk, Azman Ya, 53, berkata sebelum berlaku hakisan lebih 10 tahun lalu, jarak rumahnya dengan pantai hampir satu kilometer tetapi kini jarak dengan pantai kira-kira lima meter.

"Ketika hakisan semakin hampir dengan rumah, kami (orang kampung) pernah membuat penahan ombak menggunakan batang pokok kelapa sebagai benteng, namun tidak bertahan lama sebelum rumah saya turut musnah," katanya.

LEBIH 100 rumah di Kampung Kemeruk Sabak sudah lenyap ditelan laut. Kemusnahan lebih besar dapat dielak menerusi pemasangan batu dan groin oleh JPS yang siap pada 2015. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Lembangan Sungai dan Zon Pantai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marziah Mohamad, berkata Pantai Sabak adalah sebahagian daripada 71 kilometer (km) kawasan yang terhakis sudah diatasi dengan pelaksanaan projek pengawalan hakisan pantai sejak 2003.

Turut terbabit dalam projek pengawalan hakisan pantai paling kritikal sebanyak lima fasa itu ialah Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kuala Semut Api dan Kuala Pak Amat.

"Ia siap sepenuhnya pada 2015, sekali gus dapat menyelamatkan lebih 56 hektar tanah daripada ditenggelami dalam tempoh 30 tahun.

"Antara projek yang dijalankan adalah pembinaan benteng hakisan seperti lapisan lindung batu, groin dan T groin yang dibina di sepanjang pantai yang berdepan hakisan kritikal terutama pada musim Monsun Timur Laut pada November hingga Januari setiap tahun," katanya.

Marziah berkata, ketika ini hanya Pantai Mek Mas dan Pantai Kundur sepanjang tiga kilometer yang masih mengalami hakisan pantai paling kritikal yang memerlukan perbelanjaan RM16 juta untuk diatasi.

Katanya, sementara menunggu projek pengawalan hakisan pantai dilaksanakan, JPS menempatkan 2,034 guni pasir atau geo beg bagi menahan hakisan pantai menjadi lebih teruk.

"Buat masa ini, kita memberi tumpuan terhadap dua pantai itu ang mengalami hakisan lebih 10 meter sejak 2004 memandangkan ia membabitkan penempatan penduduk.

"Mengikut kajian, jika tiada langkah pengawalan hakisan pantai diambil mungkin hakisan akan sampai ke bandar Kota Bharu, hanya dalam tempoh lima tahun," katanya.

HAKISAN di beberapa pantai termasuk PCB, Kuala Semut Api, Kuala Pak Amat serta Pantai Sabak sudah diatasi selepas projek pengawalan hakisan pantai yang siap pada 2015, ...Marziah. - Foto NSTP/Fathil Asri

Kerja pembaikan hakisan umpama 'melepaskan batok di tangga'

Seorang pakar berkaitan iklim berpandangan, kerja pembaikan hakisan ombak di negara ini dilakukan tanpa kajian mendalam sehingga menyebabkan kerugian dan kemusnahan alam sekitar.

Prof Datuk Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah, yang juga Pengarah Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata kerja pembaikan hakisan ombak laut tidak dilakukan dengan betul, malah kerjanya umpama 'melepaskan batok di tangga'.

"Ini menyebabkan kerja pembaikan yang dijalankan hanya mampu bertahan beberapa tahun sebelum hakisan menjadi semakin teruk di lokasi lama dan baharu.

"Kebanyakan projek pembaikan yang dilakukan ketika ini tidak membabitkan kajian rapi dan akibatnya kurang berkesan kerana arus ombak yang kuat.

"Projek pembaikan hakisan perlu dilakukan mengikut keadaan kawasan yang terjejas dan tidak boleh dilaksanakan tanpa kajian yang serius," katanya.

Sharifah Mastura berkata, kerja pembaikan hakisan bukan seperti penambahbaikan biasa kerana membabitkan arus ombak.

Katanya, ia perlu dipastikan kekal dan kukuh untuk tempoh masa yang lama supaya pembaikan yang dilakukan berkesan dan tidak memberi impak kepada kawasan sekitar yang lain.

"Jika langkah yang lebih 'lembut' digunakan seperti meletakkan pasir, langkah itu perlu dilaksanakan semula dalam tempoh tiga ke lima tahun bagi memastikan pasir yang terhakis boleh ditambah.

KAWASAN persisiran Pantai Sabak kini dilindungi lapisan batu dan groin menerusi projek pengawalan hakisan pantai oleh Jabatan Pengairan Saliran negeri yang selesai pada 2015. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

"Kalau ditambak dengan batu bongkah sekali pun, batu akan bersepah bertaburan jika dibuat tanpa kajian menyeluruh kerana dipukul ombak laut. Oleh itu, pemantauan dan kajian amat penting," katanya.

Sharifah Mastura berkata, kerajaan perlu melakukan tindakan drastik terhadap kawasan mengalami hakisan kerana belanja untuk mengurus dan membaiki lokasi itu adalah amat besar untuk dipulihkan semula.

Katanya, sekurang-kurangnya RM30 juta diperlukan untuk projek pembaikan setiap kawasan yang terjejas.

"Disebabkan itulah, setiap projek pembaikan perlu dilakukan dengan teliti bersama kajian yang mendalam. Jika tidak masalah sama akan kekal berulang.

"Contohnya di Kelantan, yang saya lihat hakisan itu adalah terburuk di Malaysia walaupun kerajaan sudah mengeluarkan berjuta-juta ringgit belanja untuk membaik pulih kawasan berkenaan," katanya.

INFO

  • 71km panjang pantai seluruh Kelantan yang alami hakisan.
  • 4 jajahan - Tumpat (16.74 km), Kota Bharu (12.88 km), Bachok (30.54 km) dan Pasir Puteh (13.95 km).
  • 90 peratus sudah diatasi.
  • RM37.6 juta perbelanjaan untuk projek pengawalan hakisan pantai.

Berita Harian X