Khamis, 14 September 2017 | 2:44pm
ISMAIL Sabri Yaakob

GiatMara periksa pendawaian pusat tahfiz percuma

KUALA LUMPUR: Program Pemeriksaan Pendawaian Elektrik secara percuma anjuran GiatMara akan diperluaskan ke pusat tahfiz dan rumah anak yatim seluruh negara berbanding kediaman luar bandar ketika ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pegawai GiatMara bertanggungjawab bagi meninjau lokasi terbabit seterusnya membuat penilaian keperluan pendawaian elektrik semula.

Susulan itu, katanya, anak syarikat MARA itu akan menghantar pelatih mereka jika mempunyai keperluan berbuat demikian bagi menaik taraf tahap keselamatan bangunan terbabit.

"Saya sedih dengan apa yang berlaku pagi tadi (kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat).

"Kementerian akan dapatkan senarai pusat tahfiz dan rumah anak yatim daripada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya (menerusi Program Pemeriksaan Pendawaian Elektrik).

"Pada masa sama, saya akan mengarahkan semua bahagian, jabatan, agensi dan anak syarikat kementerian seperti Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memberi sumbangan kilat kepada keluarga mangsa kebakaran terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pertukaran Memorandum Persetujuan (MOA) Kolaborasi Latihan Superbike antara GiatMara dan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd.

Selain itu, katanya, beliau yakin RM3 juta yang diperuntukkan bagi pelaksanaan program berkenaan mencukupi walaupun kini ia mempunyai sasaran berbeza.

"Kita boleh gunakan dana sedia ada untuk pusat tahfiz, anak yatim berikutan terdapat penjimatan kos.


GAMBAR kenangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama sebahagian anak-anak Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat, yang terkorban dalam kebakaran di rumah tahfiz berkenaan awal pagi ini. Gambar ini dirakam pada Majlis Berbuka Puasa Ismail Sabri bersama mereka di Tropika Golf and Country Club, Petaling Jaya pada Ramadan lalu.

"Gaji tidak perlu dibayar kepada mereka yang membaiki elektrik berikutan tenaga kerja adalah di kalangan pelatih GiatMara.

"Pada masa sama, kita peruntukkan dana satu rumah kira-kira RM1,000, namun bukan semua mempunyai keperluan untuk dibaiki, di situ kita sudah jimat," katanya.

Dalam kejadian pada jam 5.30 pagi ini, 23 pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat dilaporkan maut selepas terbabit dalam insiden kebakaran.

3632 dibaca
Berita Harian X