Khamis, 14 September 2017 | 3:35pm
PENGERUSI NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Nik Hariff Hassan
KEADAAN kawasan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Keramat, Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

Wajibkan sekolah tahfiz, pondok berdaftar

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyarankan pengendali sekolah tahfiz dan pondok diwajibkan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan.

Di samping itu, Kabinet wajar membincangkan aspek keselamatan di institusi berkenaan, sekali gus memperkenalkan dasar khusus untuk memastikan keselamatan sekolah tahfiz seluruh negara.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pihaknya sering membangkitkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan di sekolah agama kerana kebanyakan institusi itu tidak berdaftar dengan mana-mana badan atau agensi.

Beliau berkata, kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat Hujung di sini awal pagi tadi yang mengorbankan 24 mangsa wajar menjadi pengajaran dan iktibar kepada semua pihak.

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji isu itu secara mendalam dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

"Dilaporkan terdapat 519 sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara hingga April lalu namun lebih banyak lagi dipercayai tidak berdaftar.

"Selepas semua didaftarkan di bawah kementerian atau pihak berkuasa lain, kerajaan perlu mewajibkan audit keselamatan secara komprehensif dibuat ke atas sekolah terbabit dan kemudahan asrama disediakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, pihak berkuasa juga perlu menjalankan pemeriksaan keselamatan setiap tahun terutama di sekolah yang berusia lebih 20 tahun.

Beliau berkata, jika audit berkenaan mendapati aspek keselamatan sekolah dikompromi, tindakan segera boleh diambil untuk membetulkan keadaan.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) pada Ogos lalu menyatakan kebimbangan mengenai kebakaran di sekolah tahfiz apabila 211 kebakaran dilaporkan sejak 2015.

"Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kebakaran dilaporkan berlaku di 30 tahfiz, sekolah pondok dan madrasah dengan kerugian lebih RM1. 4 juta," katanya.

1009 dibaca
Berita Harian X