Khamis, 14 September 2017 | 7:48pm
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sultan Selangor zahir takziah

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga 23 mangsa yang terkorban dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

"Beta berasa amat sedih dan dukacita dengan makluman berita bahawa berlakunya kehilangan nyawa membabitkan pelajar-pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam tragedi kebakaran yang amat menyayat hati.

"Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin menyampaikan ucapan takziah dan semoga Allah SWT memberikan ketabahan serta kekuatan kepada keluarga mangsa yang terbabit," titah baginda.

Titah ucapan takziah Sultan Sharafuddin itu dikeluarkan oleh Istana Mestika di sini, hari ini.

Kebakaran 5.15 pagi itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu. - BERNAMA

11529 dibaca
Berita Harian X