Sabtu, 16 September 2017 | 4:46pm

Lebih baik lakukan solat jenazah ghaib - Nooh Gadut

JOHOR BAHRU: Umat Islam di seluruh negara digalakkan melakukan solat jenazah ghaib terhadap semua mangsa pelajar tahfiz termasuk dua warden yang terkorban dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, kelmarin.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Nooh Gadut, berkata daripada umat Islam di negara ini bertelagah dan menuding jari mencari kesalahan, adalah lebih baik semua masyarakat berjemaah melakukan solat jenazah ghaib sebagai menyatakan simpati kepada mereka yang terkorban.

Katanya, menuding jari dan menuduh orang lain bukan sahaja berdosa, bahkan dikhuatiri boleh menjurus kepada rosaknya iman seseorang kerana tidak mempercayai ketentuan Allah.

"Kita di Malaysia ada lebih 16 juta umat Islam, apalah kiranya kalau kita berjemaah atau secara berkumpulan melakukan solat jenazah ghaib pada semua yang terkorban kerana selain menambah pahala, kita juga secara tidak langsung mendoakan kepada mereka yang 'syahid akhirat' (mati dalam kebakaran).

"Menyalahkan mana-mana pihak tidak menyelesaikan masalah, jadi jika kita sebagai umat Islam terkesan ibarat cubit peha kiri, peha kanan terasa marilah kita sama-sama seluruh umat Islam di negara ini melakukan solat jenazah ghaib," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Nooh berkata, semalam beliau juga sudah mengarahkan semua Kadi Daerah di seluruh Johor untuk melakukan solat jenazah ghaib pada hari Jumaat ini di lebih 850 masjid bagi mendoakan semua mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi itu.

"Saya juga ingin mengingatkan semua, kalau ada saudara di Makkah, maklumkan kepada mereka menerusi mesej atau WhatsApp untuk sama-sama melakukan solat jenazah ghaib.

"Kalau ada kekangan atau tidak berkesempatan melakukannya secara berjemaah, lakukanlah secara individu dan doakan mereka. Inilah cara Islam yang sebenarnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mencadangkan agar semua pusat dan madrasah tahfiz swasta di negara ini diletakkan pengawal keselamatan bagi menjaga keselamatan penghuni di dalam premis berkenaan.

Berita Harian X