Ahad, 17 September 2017 | 12:22am
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima cendehati berupa sebilah Parang Ilang dari pemimpin masyarakat dari Sibu, Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad di Majlis Sambutan Hari Malaysia di Dataran Sibu. - Foto Ihsan Jabatan Penerangan
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima cendehati berupa sebilah Parang Ilang dari pemimpin masyarakat dari Sibu, Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad di Majlis Sambutan Hari Malaysia di Dataran Sibu. - Foto Ihsan Jabatan Penerangan

Kesamarataan ekonomi mantapkan Malaysia - Abang Johari

SIBU: Malaysia mampu menjadi negara yang lebih kuat jika wujudnya kesamarataan ekonomi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata beliau percaya rakyat Sabah dan Sarawak tidak mahu dianaktirikan bukan sahaja dalam soal sejarah tetapi juga dari segi ekonomi dan politik.

"Rakyat Sabah dan Sarawak juga mahu berdiri sama tinggi dengan rakan di Semenanjung dalam pembangunan ekonomi kerana ia adalah satu harapan dan aspirasi pemimpin kami yang menandatangani perjanjian Malaysia pada 1963.

"Itu juga adalah harapan rakyat di negeri ini semalam, hari ini dan esok," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sarawak, di sini, malam ini.

Abang Johari berkata, walaupun kemudahan infrastruktur Sarawak masih berbanding Semenanjung, rakyat tetap berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memahami aspirasi serta kehendak rakyat.

Antara keperluan utama yang diinginkan rakyat katanya ialah mahu melihat Sarawak mempunyai sistem jalan raya yang bertaraf lebuh raya selepas 54 tahun bersama-sama menubuhkan Malaysia.

"Saya menganggap bahawa 16 September adalah hari yang amat penting dalam sejarah Malaysia jika dibandingkan dengan tarikh 31 Ogos kerana Malaysia belum wujud pada tarikh itu.

"Oleh itu, marilah kita bersama menjunjung tarikh 16 September dengan mengorak langkah ke arah masa hadapan yang lebih bermakna untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 penduduk Sibu itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk menaiktaraf lebih 1,000 sekolah daif di negeri ini bagi mengelakkan persepsi bahawa negeri ini tidak diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan negeri memahami kekangan kewangan yang dihadapi Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf sekolah di luar bandar negeri ini yang dianggarkan memerlukan peruntukan berjumlah RM1 bilion.

"Jumlah RM1 bilion itu melebihi peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Justeru kerajaan negeri Sarawak sanggup membantu Kerajaan Persekutuan melalui Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) untuk melaksanakan kerja menaik taraf sekolah di negeri ini.

"Kami menghargai persetujuan yang telah diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perkara ini dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga bersetuju dengan cadangan pada mesyuarat di sini Rabu lalu agar sekolah daif di negeri ini boleh dinaiktaraf fizikalnya tanpa penangguhan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X