Isnin, 18 September 2017 | 3:25pm
Jasliza Begum Muhammad Bashir sebak ketika menceritakan saat pemergian ibunya, Jante Bibi Muhammad Shariff ketika menunaikan ibadah Haji di Mekah. Jasliza Begum menerima khairat kematian yang disampaikan oleh pihak tabung haji dikediamannya di Saujana Hijau, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Ibu memang tak mahu pulang

SHAH ALAM: Jemaah Malaysia yang meninggal di Makkah pada 6 September lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru sering menyatakan hasratnya tidak mahu pulang ke tanah air.

Jante Biby Mohd Shariff, 67, yang berasal dari Taman Sedia, Tanah Rata, Cameron Highlands, juga memaklumkan kepada anaknya, Jasliza Begum Muhammad Bashir, 35, yang beliau begitu seronok berada di Tanah Suci.

Jasliza berkata, kali terakhir beliau berhubung dengan ibunya adalah ketika Allahyarhamah Jante Biby mahu bertolak ke Arafah.

"Kami dimaklumkan oleh pihak Tabung Haji (TH) ibu meninggal kira-kira jam 11.30 malam, 6 September lalu.

"Sepanjang berada di Tanah Suci, ibu sering memberitahu kami yang beliau begitu seronok di sana dan tidak mahu pulang ke Malaysia.

"Saya tidak sangka, kata-katanya itu menjadi kenyataan dan beliau tidak akan kembali kepada kami lagi.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ibu sempat menyempurnakan haji sebelum tiba-tiba jatuh sakit," katanya yang ditemui di rumahnya ketika menerima kunjungan Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani.

Jante Biby menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2 petang waktu Arab Saudi selepas tiga hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di sana.

Jante Biby berlepas ke Tanah Suci bersama beberapa orang saudara dengan penerbangan XY14 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Ogos lalu dan dijadualkan pulang ke Malaysia pada 28 September ini.

Jenazah Allahyarhamah Jante Biby diuruskan oleh petugas TH dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ie pada 7 September lalu.

Jasliza yang juga anak bongsu daripada lima beradik memaklumkan, mereka sekeluarga merancang untuk menziarahi pusara ibunya pada November ini.

Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani (kanan) menyampaikan khairat kematian kepada Jasliza Begum Muhammad Bashir (dua kiri) yang kehilangan ibunya ketika menunaikan ibadah haji sambil diperhatikan oleh suami, Mohammad Azam Veru (kiri) di Saujana Hijau, Shah Alam. Foto Muhammad Sulaiman

Terdahulu, Adi Azuan menyampaikan sumbangan takaful khairat kematian, air Zamzam dan kurma kepada waris Jante Biby.

Adi Azuan berkata, seramai 56 jemaah haji Malaysia meninggal dunia setakat ini iaitu 55 di Mekah dan Madinah, manakala seorang jemaah meninggal di tanah air.

Selain itu, beliau berkata, 39 peratus jemaah sudah pulang ke tanah air dan penerbangan terakhir dijadualkan pada 5 Oktober ini.

Berita Harian X