Isnin, 18 September 2017 | 9:36pm
GAMBAR hiasan pelarian Rohingya.. - Foto EPA

Wanita Rohingya jadi mangsa rogol - Saksi tribunal

KUALA LUMPUR: "Sepanjang perjalanan saya ke kem pelarian Rohingya di sempadan Myanmar-Bangladesh, lima atau enam wanita ditemui mengaku dirogol dan melihat sendiri ahli keluarga dibunuh tentera," kata Razia Sultana.

Beliau adalah antara saksi pendakwa raya dalam prosiding Permanent People's Tribunal (PPT) yang berlangsung di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya selama tiga hari bermula hari ini.

Razia yang juga seorang peguam dari etnik Rohingya, pergi ke sempadan Bangladesh- Myanmar, terbaru pada 8 September lalu bagi mengumpulkan bukti melalui temu bual dengan mangsa kekejaman kerajaan Myanmar, selain membuat rakaman video.

Katanya, puluhan wanita Rohingya yang ditemui berada dalam ketakutan dan trauma, dengan kebanyakannya menjadi mangsa rogol serta keganasan seksual lain oleh tentera dan polis.

Malah, katanya, saksi turut mendedahkan penduduk Rakhine beragama Buddha dipanggil 'monk', turut bersekongkol dengan tentera serta polis Myanmar untuk menyeksa dan merogol etnik Rohingya beragama Islam.

"Dalam perjalanan, saya melihat seorang wanita sedang menangis. Ketika bertanya, wanita itu berkata dia menangis selepas melihat suaminya dibunuh oleh tentera Myanmar di depan matanya.

"Seorang lagi wanita yang ditemui pula memberitahu, dia dirogol beramai-ramai oleh tentera dan penduduk di kawasan itu.

"Ada yang menceritakan pengalaman di kampung masing-masing. Tentera serta individu bukan tentera yang memiliki senjata seperti pisau, akan datang bersama-sama ke kampung mereka.

"Penduduk lelaki dan wanita akan diasingkan, kemudian mereka akan 'memeriksa' golongan wanita. Hakikatnya mereka mencabul semua wanita itu.

"Siapa yang cuba melawan pula, bajunya akan dikoyak dan dibogelkan, gambar akan diambil kemudian dilakukan penderaan seksual," katanya ketika perbicaraan PPT di sini, hari ini.

PPT membicarakan mengenai jenayah kemanusiaan dihadapi Rohingya, Kachin dan etnik minoriti lain di Myanmar itu, dikelolakan Gerakan Keadilan Sedunia (JUST), Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) serta Forum Antarabangsa Hubungan Buddha-Muslim (BMF).

Razia yang kini menetap di Chittagong, Bangladesh, berkata, dia menemu bual hampir 100 wanita Rohingya, dan menamakan 21 daripada mereka dalam laporan kepada PPT itu, antaranya merangkumi testimoni seorang gadis berusia 14 tahun dirogol beramai-ramai.

"Saya menggesa campur tangan komuniti antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia untuk menghentikan segera keganasan ini," katanya.

Berita Harian X