Selasa, 19 September 2017 | 5:18pm

'Suu Kyi main sandiwara, janji kosong'


AUNG San Suu Kyi. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Janji Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, bahawa pelarian Rohingya dibenarkan pulang ke negara asal selepas melalui proses pengesahan disifatkan 'drama' semata-mata.

Aktivis kemanusiaan Myanmar, Dr Maung Zarni, berkata alasan itu sebaliknya sekadar mahu melengahkan gerakan campur tangan daripada komuniti dunia yang bakal menggunakan saluran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, usaha membawa balik etnik Rohingya ke negara asal hanya akan menemui kegagalan kerana mereka tidak mempunyai sebarang dokumen rasmi sebagai membuktikan kewarganegaraan.

"Macam mana mereka nak ada dokumen kerana semuanya hangus dalam kebakaran yang didalangi tentera Myanmar selama lebih 40 tahun.


AKTIVIS kemanusiaan Myanmar, Dr Maung Zarni. - Foto Eizairi Shamsudin

"Ini adalah sandiwara Suu Kyi untuk melengahkan sebarang tindakan campur tangan daripada komuniti antarabangsa," katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir sebagai saksi perbicaraan Permanent People's Tribunal (PPT) yang berlangsung selama tiga hari, mulai semalam di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM).

Suu Kyi yang tampil mengeluarkan kenyataan mengenai etnik Rohingya selepas sekian lama mengelak pelbagai desakan komuniti antarabangsa, memaklumkan Myanmar ketika ini giat menjalakan usaha merungkai kemelut melanda negara terbabit.

Beliau dilaporkan berkata, pelarian Rohingya yang ketika ini berlindung di Bangladesh dibenarkan pulang ke negara asal selepas selepas proses pengesahan oleh Kerajaan Myanmar.

Mengulas kekejaman tentera Myanmar, Zarni berkata, etnik Rohingya diusir dan ditindas sejak 1978 kerana mereka memeluk agama Islam.

Beliau berkata, Kerajaan Myanmar sengaja membawa masuk pendatang haram dari Bangladesh beragama Buddha ke wilayah utara Rakhine bagi mempercepatkan usaha pengusiran etnik Rohingya.

"Pendatang haram ini diberikan makanan, bantuan perubatan dan tempat tinggal, manakala etnik Rohingya yang mempunyai bukti penduduk asal Myanmar dinafikan hak sebagai warga negara.

"Kekejaman dengan menafikan hak untuk mendapatkan kad pengenalan ini tidak akan berlaku terhadap etnik Rohingya jika mereka bukan penganut agama Islam.

"Suu Kyi adalah dalang di sebalik kekejaman yang berlaku di Myanmar, justeru beliau cuba sembunyikan kebenaran dengan tampil membuat kenyataan dan janji kosong," katanya.

1693 dibaca
Berita Harian X