Selasa, 19 September 2017 | 5:49pm
RAZIA Sultana di Permanent People Tribunal Myanmar berhubung jenayah kemanusiaan terhadap etnik minoriti di Myanmar khususnya Rohingya, yang diadakan di Fakulti Undang Undang Universiti Malaya (UM). - Foto Eizairi Shamsudin

'Anak dipijak, kemaluan ditusuk raifal'

KUALA LUMPUR: Barisan panel tujuh hakim tergamam sebaik mendengar pengakuan kekejaman didalangi tentera dan sebilangan penduduk Myanmar yang direkodkan seorang saksi perbicaraan Permanent People's Tribunal (PPT), hari ini.

Peguam, Razia Sultana yang menjadi saksi pendakwa raya untuk kali kedua mendedahkan bukti dikumpulnya ketika menemubual hampir 100 etnik Rohingya di beberapa kem pelarian di sempadan Bangladesh-Myanmar, terbaru pada 8 September lalu.

Razia yang juga etnik Rohingya, mendedahkan kisah menyayat hati bagaimana masyarakat Islam di Rakhine itu diseksa, dibakar hidup-hidup dan ditembak.

"Seorang gadis dari Kampung Laung Don menceritakan bagaimana kakaknya yang baru melahirkan seorang anak, menjadi mangsa kekejaman tentera Myanmar.

"Buah dada wanita itu dipotong manakala bayinya dipijak hingga mati. Perut bayi itu pecah manakala ususnya terburai. Mayat bayi itu kemudian diletak di dada wanita itu.

"Mereka (tentera) meletakkan buah dada (yang dipotong) secara bersebelahan di bantal berhampiran wanita itu. Kemaluannya kemudian ditusuk dengan raifal," katanya dalam prosiding PPT di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya di sini, hari ini.

Razia mendedahkan, seorang daripada pelarian ditemuinya mendakwa pernah menyaksikan tindakan kejam tentera Myanmar membakar anaknya hidup-hidup.

"Ketika dia keluar dari rumah bersama anak perempuannya berusia setahun, tentera Burma merampas kanak-kanak itu dan melemparkannya ke dalam rumah yang marak terbakar.

"Seorang pelarian lain memberitahu, bapanya yang tua dan sakit ditolak ke dalam rumah sebelum dibakar. Bapanya cuba keluar, namun empat atau lima tentera menolaknya kembali ke dalam rumah dan menutup pintu," katanya.

Semalam, Razia turut tampil sebagai saksi pendakwa raya dan menceritakan bagaimana wanita etnik Rohingya dicabul dan dirogol, selain memuatkan 21 daripada hampir 100 testimoni pelarian dalam laporannya kepada PPT.

Katanya, 20 wanita dalam laporan itu berkahwin dan 19 daripadanya kehilangan suami, iaitu sama ada mati atau hilang.

"Seorang lelaki sempat melarikan diri ke Bangladesh, itu pun selepas diseksa tentera Myanmar dan kemaluannya dibakar," katanya.

59144 dibaca
Berita Harian X