Selasa, 19 September 2017 | 7:02pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz, di Putrajaya hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz, di Putrajaya hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

'Kerajaan ambil langkah proaktif'

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang antara lain membolehkan kerajaan Persekutuan menyelaras pentadbiran dan memberi bantuan kewangan kepada sekolah agama swasta termasuk maahad tahfiz, tidak akan mendorong pengambilalihan kuasa institusi berkenaan.

Keyakinan itu disuarakan Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (PERMATA) yang menyifatkannya sebagai langkah proaktif kerajaan dalam menyelaras dan menyeragamkan perundangan berkaitan kepelbagaian institusi pendidikan di negara ini.

Presidennya, Manolito Mohd Dahlan, berkata PERMATA yang menaungi 260 madrasah tahfiz dengan sebahagian besarnya berdaftar dengan kerajaan negeri, yakin pengambilalihan kuasa tidak berlaku kerana isu agama berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai kaedah dan mekanisme tersendiri dalam mengendalikan institusi pendidikan agama di negeri masing-masing.

"Bidang kuasa isu agama di bawah Sultan dan negeri harus seharusnya dibincangkan terlebih dulu antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, terutama aspek penyaluran dana kepada sekolah agama swasta bagi mengelak berlaku ketirisan dan penyampaian tidak tersasar.

"Kaedah penyampaian bantuan, katanya perlu diteliti dan diperkemaskan bagi mengelak peruntukan untuk membaik pulih bangunan digunakan untuk membina bangunan baharu sehingga menyebabkan bangunan lama bertambah uzur dan mendatangkan masalah kepada warga institusi berkenaan.

"Kerajaan perlu meletakkan keutamaan dalam pemberian dana bagi membolehkan masalah diselesaikan satu persatu mengikut keutamaan. Apa yang dilaksanakan kerajaan ketika ini adalah satu tindakan yang sangat baik dan proaktif yang saya harap bukan bersifat ad hoc, sebaliknya berterusan.

"Warga maahad tahfiz juga mengharapkan peruntukan tambahan diumumkan pada Bajet 2018 bulan depan, tambahan kepada RM30 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini," katanya kepada BH, hari ini.

Pindaan Akta 550 berkaitan isu sekolah agama swasta termasuk maahad tahfiz akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, cadangan pindaan akta itu bertujuan membolehkan aspek pendaftaran sekolah agama swasta dimasukkan ke dalam akta berkenaan.

Ia juga, katanya, bagi membolehkan kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa menyelaras pentadbiran dan memberi bantuan kewangan kepada sekolah terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berharap usaha kerajaan meminda Akta 550 mampu menyelesaikan banyak isu berbangkit, sekali gus memperkasakan sistem pendidikan di institusi berkenaan.

Tanpa pindaan itu, katanya, pusat tahfiz dan sekolah pondok akan wujud ibarat cendawan selepas hujan sehingga menimbulkan pelbagai masalah khususnya aspek keselamatan pelajar.

"Isu pengambilalihan kuasa juga tidak berbangkit dengan pindaan akta ini walaupun ia paling ditakuti pemilik tahfiz tidak berdaftar sedangkan campur tangan kerajaan Persekutuan itu adalah untuk kebaikan.

"Ada pusat tahfiz gagal menangani aspek keselamatan dan sukatan pelajaran, selain ada tenaga pengajar tidak bertauliah, malah sebahagian mereka bukan penghafaz al-Quran.

"Sekurang-kurangnya pindaan akta ini boleh memantau pendidikan agama dan tahfiz diterima pelajar," katanya.

Berita Harian X