Selasa, 19 September 2017 | 8:33pm
PENGERUSI NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berucap pada majlis penutup Persidangan dan Pameran Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH 2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGERUSI NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berucap pada majlis penutup Persidangan dan Pameran Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH 2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

NIOSH sedia audit keselamatan maahad tahfiz

PUTRAJAYA: Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara (NIOSH) bersedia membuat pemantauan bagi audit dan memberi penekanan dari segi keselamatan kepada murid serta guru maahad tahfiz di seluruh negara.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pihaknya juga akan menyediakan modul dan pelan keselamatan yang bersesuaian dengan maahad tahfiz berkenaan.

Katanya, melalui audit berkenaan, NIOSH dapat mengenal pasti kemungkinan risiko yang dihadapi maahad tahfiz tertentu.

"Institusi berkenaan akan diedarkan senarai audit keselamatan, antaranya berkaitan alat kelengkapan pemadam api, keadaan kelas dan kesesuaian perabot yang diletakkan di premis itu.

"NIOSH juga akan mengadakan pameran di maahad tahfiz supaya mereka mengetahui mendalam mengenai keselamatan," katanya kepada pemberita majlis penutup Persidangan dan Pameran Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH 2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Lam Thye mengulas keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah Tahfiz hari ini yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mesyuarat itu menyenaraikan enam syor berkaitan isu sekolah agama swasta termasuk maahad tahfiz, untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini termasuk pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Sementara itu, Lam Thye berkata kebanyakan murid dan guru tidak mengetahui bahawa sekolah juga dianggap sebagai tempat bekerja dan mereka seharusnya mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994).

"Dalam akta itu, tempat kerja atau sekolah yang mempunyai lebih 40 pekerja atau orang awam perlu menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan," katanya. 

Sehingga kini, ada sebanyak 941 maahad tahfiz swasta membabitkan 150,000 pelajar berdaftar dengan Persatuan Madrasah Tahfiz Malaysia.

Daripada jumlah itu, sebanyak 612 berdaftar di bawah pihak berkuasa negeri dan Kementerian Pendidikan, manakala 312 lagi tidak berdaftar. 

Berita Harian X