Rabu, 20 September 2017 | 6:57pm
AZRIL Mohd Amin.

Dakwa Suu Kyi, junta sebagai penjenayah perang

KUALA LUMPUR: Video ucapan Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, dijadikan hujah balas defendan ketika perbicaraan Permanent People's Tribunal (PPT) di sini, hari ini.

Rakaman berdurasi 31 minit disampaikan pemenang Anugerah Nobel Keamanan itu, dimainkan di hadapan panel tujuh hakim berikutan kegagalan wakil Kerajaan Myanmar hadir sepanjang tiga hari prosiding berlangsung.

Rentetan kegagalan itu, tribunal menerusi statut PPT, melantik Sekretariatnya, Simona Fraudatario, untuk mengumpul kenyataan dan deklarasi rasmi Kerajaan Myanmar serta membentangkannya kepada hakim sebagai hujah defendan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pendakwa Raya, Azril Mohd Amin, mengemukakan lima cadangan yang wajar dilaksanakan Kerajaan Myanmar serta komuniti antarabangsa dalam menyelesaikan jenayah kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya, Kachin dan Muslim Myanmar.

"Junta Burma, kerajaan, Suu Kyi bersama semua pegawainya perlu didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai penjenayah perang.

"Zon selamat dan perjanjian gencatan senjata perlu dibincang dan dilaksanakan antara etnik dan kumpulan agama minoriti dengan junta dan Kerajaan Myanmar.

"Kami juga menyarankan status kewarganegaraan penuh dikembalikan semula kepada Rohingya yang dirampas secara tidak sah oleh kerajaan Burma pada 1982," katanya ketika menyampaikan hujahan penutup pendakwaan di sini, hari ini.

Selain itu, pihak pendakwa raya turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN memulau Myanmar sehingga kerajaan itu menerima Rohingya, Karen dan Kachin sebagai rakyatnya.

Saranan lain ialah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Komanwel dan PBB serta badan antarabangsa lain mengenakan sekatan terhadap rejim Burma, mengiktiraf isu berkenaan bukan berpunca daripada etnik minoriti terbabit serta menggesa Bangladesh menggandakan usaha melindungi pelarian Rohingya.

Berita Harian X