Khamis, 21 September 2017 | 8:52pm

Undi pos sesuai untuk pengundi sektor pekerjaan kritikal

KUALA LUMPUR: Pengundian pos adalah kaedah mengundi sesuai dilaksana kepada sektor pekerjaan kritikal kerana hanya perlu diwartakan tanpa pindaan terhadap perundangan pilihan raya sedia ada.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata kaedah pengundian awal hanya boleh dilaksanakan jika pindaan dibuat membabitkan perundangan pilihan raya sedia ada.


PENGERUSI SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah. - Foto fail NSTP/Sairien Nafis

Katanya, ketika ini ia hanya boleh dilaksanakan kepada polis, tentera, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan yang memenuhi syarat.

Justeru, katanya, SPR memperhalusi kaedah pengundian sesuai bagi memberi kemudahan beberapa agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Jabatan Kesihatan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Sukarelawan Simpanan Polis (SSP).

"Kajian ini mengambil kira faktor keselamatan, kritikal dan kecemasan termasuk kerumitan kerja kerana warga agensi ini bertugas pada hari pengundian dan tidak boleh meninggalkan tempat bertugas kerana boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam serta mengancam nyawa.

"SPR akan membuat ketetapan kaedah kemudahan pengundian kepada agensi terbabit tertakluk kepada hasil kajian itu," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas bidang kerja dipertimbangkan suruhan jaya itu bagi membolehkan pengundi berdaftar yang bekerja dalam bidang kritikal menunaikan tanggungjawab mengundi.

Sebelum ini, Mohd Hashim dilaporkan berkata, pihaknya akan bertemu wakil beberapa agensi seperti Kementerian Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat minggu depan berhubung perkara terbabit.

Beliau berkata, pengundian pos boleh dilaksanakan kerana hanya memerlukan pewartaan memasukkan golongan yang difikirkan perlu oleh SPR sebagai pengundi pos.

Katanya, tiada pengundian secara digital dilaksanakan di negara ini dan jika kaedah itu mahu dilaksana, ia memerlukan pindaan undang-undang pilihan raya sedia ada dan dilaksanakan secara menyeluruh.


PENGUNDIAN pos oleh anggota tentera di Lubnan. - Foto fail NSTP

Pilihan Raya

  • Pelajar di luar negara
  • Rakyat Malaysia di luar negara (kecuali di Selatan Thai, Kalimantan, Singapura dan Brunei)
  • Wartawan yang bertugas pada hari mengundi.
  • Kakitangan kedutaan Malaysia di luar negara.
  • Polis dan Tentera yang bertugas dalam operasi semasa pilihan raya.

Pengundian awal

  • Polis dan pasangan
  • Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan
  • Tentera dan pasangan
552 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »