Khamis, 21 September 2017 | 8:59pm
UMT merekod kejayaan baharu menerusi ciptaan kaedah pengawetan ikan lut sinar. - Foto Aslina Abu Bakar
ANTARA spesis laut yang menjalani proses spesimen lut sinar di UMT. - Foto Aslina Abu Bakar
AZWARINA (kanan) bersama pembantunya, Noratikah Ab Manaf menunjukkan ikan yang menjalani pemprosesan spesimen lut sinar berwarna. - Foto Aslina Abu Bakar

UMT cipta kaedah penyaduran resin ikan lutsinar

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan inovasi baharu kaedah pengawetan ikan lutsinar yang akan memudahkan proses pembelajaran tiga dimensi biologi ikan.  

Proses pengawetan kompleks terbaru itu dikenali sebagai penyaduran resin, gabungan beberapa teknik penstabilan membabitkan beberapa prosedur, antaranya pengawetan spesimen, pembilasan, pelunturan, pewarnaan tulang rawan, penggantian larutan alkohol dan dehidrasi.

Timbalan Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghafar, berkata melalui kaedah itu, ikan dapat disimpan dalam keadaan terhidrasi, namun struktur isi, otot, tulang rawan dan sel ikan tidak berubah sama sekali.

Katanya, dengan ciptaan kaedah pengawetan baharu itu, ikan yang mahu dilutsinarkan dijadikan spesimen kering dalam bentuk blok, sekali gus mampu memelihara spesimen untuk jangka panjang, berbanding kaedah pengawetan secara basah yang berat dan memerlukan kos tinggi serta penjagaan rapi.

Lebih membanggakan, kejayaan UMT melalui Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) menemukan kaedah terbaru itu turut menarik minat rakan penyelidik dari Taiwan dan Jepun yang mahu mempelajari teknik berkenaan dengan lebih mendalam.

LANGKAH pewarnaan ikan lut sinar yang dipamerkan UMT. - Foto Aslina Abu Bakar

LANGKAH pewarnaan ikan lut sinar yang dipamerkan UMT. - Foto Aslina Abu Bakar

Prof Dr Mazlan berkata, kaedah pemprosesan spesimen ikan untuk dijadikan dalam bentuk lutsinar berwarna dengan menjadikannya spesimen basah sebelum ini memerlukan ia disimpan di dalam larutan cecair gliserol dan bekas kaca. 

Oleh itu katanya, ia sangat berat, memakan kos tinggi dan memerlukan penjagaan rapi.

"Dengan penemuan kaedah penyaduran resin ini, kerja penyelenggaraan ikan lutsinar ini dapat dikurangkan, selain memudahkan proses penyimpanan dan boleh digunakan untuk bahan pengajaran, pameran serta rujukan.

"Selain sebagai bahan penyelidikan, ikan yang sudah dilutsinarkan melalui kaedah itu juga boleh membantu meningkatkan pendapatan usahawan terutama dalam bidang kesenian dan pelancongan untuk dijadikan spesimen haiwan sebagai cenderahati," katanya.

Prof Dr Mazlan berkata, bersesuaian dengan bidang utama UMT yang menumpukan sains marin, ada beberapa projek dan kerjasama dilakukan pihaknya untuk mengetengahkan teknik spesimen lutsinar berwarna itu terutama membabitkan pelbagai spesis hidupan laut.

"Kebiasaannya ikan yang dilutsinarkan ini digunakan dalam bidang pengajian pengkelasan ikan terutama untuk mengkaji biologi ikan. 

"Ikan yang melalui proses lut sinar ini membantu memudahkan pemahaman mengenai sistem tulang dan otot dalam ikan kerana segala sistem dalaman boleh dilihat dan difahami dengan jelas kerana kod warna yang dipaparkan berbeza.

"Malah, penuntut juga boleh melihat duri yang terdapat pada ikan bermula dari luar hingga struktur dalamannya. Lebih menarik, penuntut juga boleh melihat kantung racun sekiranya ikan itu mempunyai racun," katanya.

Beliau berkata, masa yang diambil untuk memproses spesimen atau ikan lut sinar berwarna ini berbeza kerana ia bergantung kepada saiz dan ketebalan ikan. 

"Ada yang mengambil masa hanya beberapa bulan, malah ada juga memakan masa hingga dua tahun.

"Malah, ada empat langkah utama perlu dijalankan untuk menghasilkan ikan lutsinar ini iaitu penetapan struktur, pewarnaan, pelutsinaran otot dan simpanan," katanya.

Prof Dr Mazlan berkata, bagi memastikan kaedah itu boleh memberi manfaat terutama kepada komuniti di negeri ini, pihaknya akan mengadakan beberapa siri bengkel untuk mengajar cara untuk menghasilkan ikan lutsinar.

"Pendedahan ini perlu disebarkan kepada orang ramai kerana ia boleh menjadi satu sumber pendapatan terutama kepada penggiat pelancongan supaya mereka boleh menghasilkan barangan yang boleh dijadikan cenderahati melalui teknik ini," katanya.

AZWARINA (kanan) bersama pembantunya, Noratikah Ab Manaf menunjukkan ikan yang menjalani pemprosesan spesimen lut sinar berwarna. - Foto Aslina Abu Bakar

Sementara itu, Kurator INOS UMT, Azwarina Mohd Azmi Ramasamy berkata, untuk menghasilkan ikan lutsinar, ia kebiasaannya memerlukan 10 peratus formalin, 95 peratus alkohol, 0.1 peratus hidrogen peroksida, asid asetik glasier, enzim, natrium tetraborat, kalium hidroksida, alizarin merah, alcian biru dan gliserol.

"Teknik pewarnaan rangka tulang lut sinar menggunakan bahan kimia khas untuk melutsinarkan tisu otot organisma dan kemudian menggunakan warna khas bagi mewarna rangka tulang yang mengambil masa sebanyak dua kali.

"Melalui langkah itu, spesimen atau haiwan boleh mempamerkan warna biru dan merah yang berlainan berasaskan komposisi kerangka tulang," katanya.

Ketika ini UMT menjadi tuan rumah Pameran Antarabangsa 'Rahsia Ikan Lutsinar', selepas Jepun dan Taiwan.

Sebanyak 1,000 spesies ikan lutsinar dipamerkan kepada orang ramai di Galeri Penyelidikan INOS, UMT, di sini, sehingga November depan.

INFO

  • Resin ialah bahan lekit berwarna kuning atau coklat yang diperoleh dari pokok tertentu, seperti pain dan fir dan digunakan untuk membuat varnis dan ubat 
  • Ia berbentuk cairan yang mengeras dan telus atau tidak berwarna (transparent) 

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X