Khamis, 21 September 2017 | 9:41pm
HANIS (kiri) memberi penerangan mengenai produk syarikatnya yang bakal dilancar akhir tahun ini kepada wakil industri permainan video dan animasi Jepun. - Foto Faiza Zainudin
HANIS (kiri) memberi penerangan mengenai produk syarikatnya yang bakal dilancar akhir tahun ini kepada wakil industri permainan video dan animasi Jepun. - Foto Faiza Zainudin
NG (dua dari kiri) dan Shah Nizam (kiri sekali) turut membantu memberi penerangan produk kandungan digital industri tempatan kepada wakil syarikat permainan video dan animasi Jepun. - Foto Faiza Zainudin
NG (dua dari kiri) dan Shah Nizam (kiri sekali) turut membantu memberi penerangan produk kandungan digital industri tempatan kepada wakil syarikat permainan video dan animasi Jepun. - Foto Faiza Zainudin

Syarikat Malaysia tampil kandungan digital bermutu

CHIBA (JEPUN): Penyertaan 14 syarikat pembangun permainan video dan animasi Malaysia dalam pameran Tokyo Game Show 2017 mendapat perhatian bukan saja syarikat gergasi Jepun, malah dari negara maju lain termasuk Amerika Syarikat (AS).

Isi kandungan digital Malaysia yang bermutu, terkini, segar dan relevan hasil kepelbagaian budaya dijangka dapat membantu negara kuasa besar meluas pasaran dunia, khususnya di rantau Asia.

Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ng Wan Peng, berkata bakat dan kebolehan syarikat tempatan diperakui hasil kejayaan syarikat animasi dan digital sebelum ini yang disegani di persada antarabangsa seperti Monsta, Lemon Sky Animation dan Passion Republic.

"Misi mempromosi industri permainan video Malaysia di Jepun ini tidak sukar kerana pasaran luar sudah mengenali dan mengiktiraf produk baharu kita.

"Syarikat tempatan yang menyertai pameran ini berjaya menjalin kerjasama dan menjual produk, sekali gus membantu industri kandungan digital negara.

"Tenaga kerja berbakat dan kreatif serta sokongan kerajaan sebelum ini turut membantu meletakkan negara sebagai destinasi pilihan syarikat antarabangsa untuk beroperasi di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pavilion Malaysia yang menyertai pameran Tokyo Game Show 2017 di Makuhuri Messe di sini, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Tokyo, Shah Nizam Ahmad.

NG (tiga dari kanan) bersama wakil syarikat tempatan yang menyertai Tokyo Game Show 2017 di Makuhari Messe, Chiba, Jepun, hari ini. - Foto Faiza Zainudin
NG (tiga dari kanan) bersama wakil syarikat tempatan yang menyertai Tokyo Game Show 2017 di Makuhari Messe, Chiba, Jepun, hari ini. - Foto Faiza Zainudin

Sebanyak 14 syarikat tempatan menyertai pameran empat hari yang berlangsung hingga Ahad ini antaranya Lemon Sky Animation, Gamehubs dan Illusionist Production, Glow Production.

Tokyo Game Show adalah antara acara penting dalam industri permainan video dan animasi global serta menjadi medan syarikat gergasi Jepun melancarkan produk baharu.

Hampir 300,000 pengunjung dari lebih 30 negara menyaksikan pameran tahunan itu yang disertai ratusan syarikat dalam dan luar negara.

Sementara itu, Shah Nizam yang mengetuai delegasi Malaysia berkata, industri permainan video Jepun menyaksikan kebangkitan selepas sedekad berhadapan dengan kelembapan jualan produk hasil syarikat kandungan digital Jepun.

Katanya, kejayaan beberapa permainan video seperti Final Fantasy XV (Square Enix), Resident Evil 7 (Capcom) baru-baru ini dan juga pelancaran konsol terbaru Nintendo, Switch pada Mac lalu menandakan kembalinya Jepun sebagai antara kuasa besar dalam pasaran permainan video global.

"Nilai pasaran permainan video Jepun dilaporkan bernilai AS$12.4 bilion tahun lalu dan ketiga terbesar di dunia selepas China dan Amerika Syarikat, dengan segmen peralatan pintar adalah paling menguntungkan menerusi pulangan AS$6.5 bilion pada tahun sama," katanya.

Sementara itu, dua beradik yang menyertai pameran berkenaan, Hanis dan Faris Rahim dari Game Development Studio Kamii, teruja apabila ruang pameran mereka turut mendapat sambutan wakil syarikat Jepun untuk menjalin kerjasama.

HANIS (kiri) dan adiknya, Faris mensasar 'partner' dalam publikasi permainan video di Jepun, Korea, Taiwan dan negara barat. - Foto Faiza Zainudin
HANIS (kiri) dan adiknya, Faris mensasar 'partner' dalam publikasi permainan video di Jepun, Korea, Taiwan dan negara barat. - Foto Faiza Zainudin

"Belum sampai sehari pameran dibuka, lebih 10 syarikat termasuk gergasi menyatakan minat untuk menerbitkan produk sulung kami, To Gather Island dan Neva Logik," katanya yang menjadi wakil tunggal syarikat Bumiputera dalam pameran itu.

Info
Global Games Market

* Laporan 2017 - Seramai 2.2 billion penggemar permainan video seluruh dunia dijangka akan menyumbang sejumlah AS$108.9 bilion kepada industri permainan video global.

* Laporan 2016 - Peningkatan 7.8 peratus berbanding tahun lalu.

Berita Harian X