Jumaat, 22 September 2017 | 3:29pm
Ketua Hakim Permanent People's Tribunal (PPT), Daniel Feierstein (kiri) bersama hakim Helen Jarvis dan Nello Rossi membaca keputusan memutuskan Kerajaan Myanmar bersalah melaksanakan jenayah perang dan kemanusiaan terhadap Rohingya, Kachin dan Muslim Myanmar di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim

PPT dapati Myanmar lakukan genosid, jenayah perang

 

KUALA LUMPUR: Tribunal berhubung dakwaan jenayah terhadap etnik Rohingya, Kachin dan Muslim Myanmar hari ini memutuskan Kerajaan Myanmar bersalah melakukan jenayah genosid terhadap Rohingya.

Ia juga memutuskan Kerajaan Myanmar bersalah melaksanakan jenayah perang dan kemanusiaan terhadap Rohingya, Kachin dan Muslim Myanmar.

Keputusan itu dibacakan Ketua Hakim Permanent People's Tribunal (PPT), Daniel Feierstein selepas tribunal menjalankan prosiding selama tiga hari di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) bermula 18 September lalu.

Katanya, keputusan itu dicapai panel tujuh hakim selepas pendakwa raya membuktikan kerajaan Myanmar menyerang etnik Rohingya secara fizikal dengan niat untuk dihapuskan, selain turut menafikan kewujudan komuniti itu secara simbolik.

"Etnik Rohingya dihapuskan daripada struktur perundangan Kerajaan Myanmar, sekali gus tidak dibolehkan untuk diiktiraf sebagai rakyat negara itu. Malah, perkataan Rohingya dilarang digunakan untuk merujuk kepada kumpulan etnik berkenaan.

"Tribunal mendapati fakta dipamerkan menepati unsur genosid mengikut Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain mengenalpasti tiga daripada lima praktis konvensyen itu sudah dilaksanakan terhadap komuniti Rohingya.

"Tiga praktis itu adalah pembunuhan ahli kumpulan (etnik Rohingya), menyebabkan kecederaan serius terhadap anggota badan atau mental serta dengan sengaja mewujudkan syarat kehidupan tertentu bertujuan menghapuskan fizikal kumpulan itu sebahagian atau keseluruhannya," katanya.

Feierstein berkata, panel hakim turut bersetuju bahawa Kerajaan Myanmar berniat melakukan genosid terhadap Kachin dan Muslim Myanmar, selain memberi amaran bahawa kedua-duanya berdepan genosid dalam masa terdekat jika keadaan semasa berterusan.

"Semua jenayah yang tidak dihukum ini sedang dilaksanakan oleh tentera serta rejim berkuasa di Myanmar. Ia dilihat bertujuan menidakkan autonomi Kachin serta memusnahkan etnik dan identiti budaya kumpulan minoriti di negara itu.

"Ia tidak boleh dianggap sebagai kesan proses peralihan dan demokrasi matang yang rumit seperti yang dimaklumkan pada 19 September lalu, sebaliknya penindasan rejim serta penafian hak kemanusiaan rakyat," katanya.

Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid PBB diluluskan pada 1948 dan diratifikasi oleh Kerajaan Myanmar pada 1956, selain dimasukkan dalam Statut Rome bagi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 1998.

PPT berhubung jenayah kemanusiaan terhadap Rohingya, Kachin dan Muslim Myanmar, bermula di International State Crime Initiative, Queen Mary University of London pada 6 dan 7 Mac lalu, sebelum diteruskan di UM.

Sepanjang prosiding, pihak pendakwa diketuai Doreen Chen mengemukakan bukti menerusi beberapa saksi dari etnik terbabit yang menjadi mangsa atau saksi kekejaman tentera Myanmar, selain testimoni beberapa aktivis dan pakar berkaitan.

Kerajaan Myanmar tidak menghantar wakil pada prosiding, menyebabkan Sekretariat PPT menggunakan kenyataan rasmi termasuk ucapan Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, Selasa lalu sebagai hujah balas defendan bagi memastikan keadilan perbicaraan.

650 dibaca
Berita Harian X