Jumaat, 22 September 2017 | 5:23pm
Permanent Peoples' Tribunal (PPT) mengemukakan 17 syor, merangkumi tujuh aspek dalam merungkai kemelut isu kemanusiaan yang semakin meruncing di Myanmar. - Foto Salhani Ibrahim

PPT kemuka 17 syor selesai kemelut di Myanmar

KUALA LUMPUR: Permanent Peoples' Tribunal (PPT) mengemukakan 17 syor, merangkumi tujuh aspek dalam merungkai kemelut isu kemanusiaan yang semakin meruncing di Myanmar.

Ia merangkumi pemansuhan Perlembagaan Myanmar 2008 yang disifatkan mempunyai unsur diskriminasi, selain gerakan menukar struktur demografik republik itu menerusi penyingkiran umat Islam secara sistematik.

Hakim Gill H Boehringer berkata, akta diskriminasi lain yang wajar dipinda atau dimansuhkan Kerajaan Myanmar adalah Undang-Undang Kewarganegaraan 1982.

Katanya, perundangan itu adalah punca etnik Rohingya, Kachin dan kumpulan minoriti Muslim lain di republik berkenaan ditindas, sehingga menyaksikan mereka menjadi pelarian serta membanjiri negara jiran.

"Proses pengesahan yang diutarakan (Kaunselor Negara Myanmar) Aung San Suu Kyi harus memberi jaminan bahawa setiap individu yang dilahirkan di Myanmar berhak mendapat status kewarganegaraan.

"Menerusi pindaan Perlembagaan Myanmar 2008, perwakilan tentera dalam institusi Parlimen Myanmar perlu dimansuhkan dengan lantikan dibuat secara demokratik.

"Selain itu, pengurusan pasukan tentera dan polis wajar diletakkan mengikut bidang kuasa awam," katanya ketika membacakan penghakiman pada prosiding terakhir PPT, hari ini.

Boehringer berkata, ASEAN dan Kerajaan Myanmar perlu menjalakan rundingan dengan semua kumpulan bersenjata di republik berkenaan sebagai langkah awal perdamaian.

Katanya, rundingan itu diharap berupaya menjurus kepada usaha gencatan senjata di antara pihak bertelagah dan mewujudkan Zon Bebas Tentera (DMZ) di sempadan utara wilayah Rakhine.

"Berikan visa dan akses penuh kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat dakwaan penindasan serta jenayah perang yang dikatakan berlaku di Myanmar.

"Jika dakwaan ini didapati benar, Myanmar mesti menghukum pengkhianat yang menjadi dalang penindasan hak asasi manusia, genosid, rogol dan keganasan terhadap etnik Rohingya, Kachin serta kumpulan minoriti Islam lain.

"Mana-mana anggota pihak berkuasa, termasuk tentera yang didapati bersalah melakukan kekejaman ini tidak seharusnya terkecuali daripada hukuman setimpal," katanya.

Pasca proses perdamaian, Boehringer yang juga Anggota Tetap PPT, berkata suruhanjaya bebas dan bukan kerajaan wajar ditubuhkan untuk mengendalikan program pemulihan.

Selain itu, katanya, suruhanjaya terbabit turut ditugaskan untuk memberi pampasan setimpal dan berkaitan kepada mangsa keganasan hak asasi manusia di Myanmar.

"Bagi menjamin proses perdamaian, kenakan 'embargo' atau perintah larangan penggunaan dan pembekalan senjata api terhadap Kerajaan Myanmar.

"Sekatan bersesuaian seperti pergerakan keluar negara dan pembekuan akaun bank juga perlu dilaksanakan kepada pegawai Kerajaan Myanmar yang berkaitan selagi kemelut tidak diselesaikan," katanya.

Berita Harian X